Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kerusi Parlimen Segamat dengan majoriti yang lebih tinggi dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang, kata Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh.

"Kami melihat bahawa presiden kami telah berkhidmat di kawasan itu untuk sekian lama.

"Berdasarkan maklum balas dari akar umbi, kami (Pemuda MIC) percaya bahawa beliau (Subramaniam) akan dengan mudah dapat mengekalkan kerusi itu. Itu bukan masalah," kata Sivarraajh dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur pagi ini.

Memandangkan status Subramaniam sebagai seorang menteri persekutuan dan presiden parti, Sivarraajh berkata Pemuda MIC juga yakin bahawa pelbagai "isu-isu fitnah" yang dimainkan oleh pakatan pembangkang tidak memberi kesan kepada kepada pengundi.

Realitinya, kata beliau, Subramaniam telah bekerja keras berkhidmat kepada rakyat untuk sekian lama dan oleh itu, "saya percaya majoriti beliau akan meningkat dalam pilihan raya ini".

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada MIC telah membuat persediaan tambahan untuk mempertahankan Segamat - kerusi di Johor - salah satu kawasan tumpuan Pakatan Harapan dalam usaha untuk menawan Putrajaya.

Sivarraajh sebelum ini mengumumkan bahawa Pemuda MIC telah mengenal pasti 11 "kerusi panas" untuk PRU-14 - yang terdiri daripada lima kawasan Parlimen termasuk Segamat dan enam kerusi DUN.

Subramaniam, ahli Parlimen selama tiga penggal, telah memenangi dan mengekalkan Segamat dengan majoriti yang menurun sejak pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004.

Dalam pilihan raya lepas, Subramaniam mengalahkan bekas menteri persekutuan MCA, Datuk Dr Chua Jui Meng yang bertanding di bawah tiket PKR, dengan majoriti 1,217 undi.

[Baca berita penuh]