Pergerakan Pemuda Umno menganggap isu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu isu kecil dan pengedaran risalah mengenai pembebasan beliau, tidak akan menjejaskan parti itu.

Sebaliknya, Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim berkata, Umno sebuah parti yang besar, kukuh dan tidak akan `pincang' dengan pengedaran risalah tersebut.

"Pemuda Umno tidak memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan kekuatan parti secara keseluruhannya.

"Mungkin ada orang yang terpengaruh tetapi jumlahnya kecil," katanya ketika diminta mengulas tindakan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengedar 500,000 risalah mengenai pembebasan Anwar sejak dua minggu lalu.

Azimi yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah berkata, risalah itu perlu diedarkan kepada ahli parti pembangkang dan bukannya kepada rakyat.

Pemecatan Anwar

Katanya, ini kerana rakyat sudah tahu bahawa pemecatan Anwar adalah keputusan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

"Pemecatan itu dibuat dengan sokongan penuh Majlis Tertinggi (MT) dan dibuat sebelum mahkamah membebaskan Anwar," katanya.

Beliau berkata, ini juga bermakna pemecatan tersebut tidak ada kena mengena dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Islam Hadhari yang diperkenalkannya.

Azimi mendakwa PKR mengambil kesempatan daripada pembebasan Anwar untuk mengelirukan rakyat dengan mendakwa pemecatan Anwar kerana 'niat jahat pemimpin Umno'.

Semalam Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata pihaknya mengedar 500,000 risalah bagi menjelaskan mengenai pembebasan Anwar supaya rakyat mendapat maklumat lengkap mengenainya.

Menurut Badrul Hisham, risalah tersebut diedarkan untuk menerangkan bahawa mahkamah telah mendapati Anwar tidak bersalah dan pemenjaraan beliau hanya konspirasi ciptaan buku `50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.'