Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Sekurang-kurangnya depa berasap dapur

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar akan dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang dalam usaha membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai hab logistik di utara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata penaiktarafan LTSAH perlu dilakukan sebagai tarikan utama kemasukan pelabur ke Bukit Kayu Hitam, yang bersempadan dengan Thailand.

"Selepas berbincang dengan Menteri Kewangan Kedua dan untuk memajukan Bukit Kayu Hitam, kita perlu menaik taraf Lapangan Terbang Alor Setar (Sultan Abdul Halim) untuk tempoh lima tahun ini sebagai lapangan terbang antarabangsa.

"Penaiktarafan ini sangat sesuai untuk pembangunan logistik Bukit Kayu Hitam selain ia bersempadan dengan Thailand yang potensinya sangat besar," katanya ketika berucap merasmikan Penutup Ekspo Muafakat Kedah di perkarangan Stadium Darulaman di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kemudahan urusan haji dan umrah

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dengan penaiktarafan itu nanti, LTSAH akan memberi kemudahan kepada rakyat Kedah dalam urusan menunaikan haji dan umrah.

Beliau berkata kerajaan Pusat yakin dapat merealisasikan hasrat tersebut demi pembangunan Kedah khususnya.

"Insya-Allah, kita boleh laksanakan," kata beliau.

Mengenai Langkawi, Najib berkata dalam usaha untuk menjadikan pulau itu sebagai pintu masuk ke negara ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diarah memasukkan ‘aerobridge’ dalam kerja-kerja membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Ia untuk penerbangan terus dan jika tiada ‘aerobridge’, pesawat besar seperti Emirates tidak akan datang ke negeri ini. Mereka perlukan ‘aerobridge’ bagi tujuan itu," katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kedah tidak akan dipinggirkan malah, terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

Najib berkata ia sebagai penghargaan kepada Kedah yang merupakan negeri jelapang padi negara.

"Kerajaan negeri Kedah memerlukan sokongan daripada kerajaan Pusat kerana sumber kewangan hasil negeri amat terbatas...kita harus menghargai Kedah," kata beliau.

Beliau berkata setiap bantuan diberikan kerajaan Persekutuan kepada rakyat bukanlah ‘dedak’ seperti ditohmahkan pihak pembangkang sebaliknya ia adalah sebagai langkah kerajaan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.

"Jangan hina rakyat...mereka tetap dapat pembelaan daripada kerajaan Persekutuan," kata beliau.


Najib berkata antaranya adalah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyaksikan hampir 600,000 rakyat Kedah menerima bantuan itu.

Beliau berkata ini membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutan dalam membantu golongan memerlukan untuk memenuhi keperluan asas mereka.

"Sekurang-kurangnya depa (mereka) berasap dapur dan keperluan asas dapat. Ini bukan ‘dedak’ dan ini merupakan sumbangan yang kerajaan berikan kepada rakyat memerlukan. BR1M akan kita teruskan," kata beliau.

Mengenai masalah bekalan air di negeri ini, Najib mengulangi komitmennya untuk membantu rakyat Kedah menikmati kemudahan asas itu menerusi peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf lima loji rawatan air.

"Lima loji ini akan dilaksana secara berfasa dan banyak lagi nikmat yang rakyat dapat dan saya mengharapkan Kedah terus kekal di bawah teraju Barisan Nasional," kata perdana menteri.

Najib kemudian melancarkan Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2019-2035 yang antara lain memberi empat tumpuan elemen utama iaitu mempelbagaikan asas ekonomi negeri, melonjak pembangunan holistik lagi berdaya mampan, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyediakan negeri ini dengan kekuatan jati diri, modal insan dan tenaga muda selaku impetus (dorongan) utama.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS