Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawatan Dr M ke Kamunting padam dendam politik ISA
Diterbitkan:  Mar 4, 2018 8:30 AM
Dikemaskini: 12:11 AM

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang juga mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen menentang kerajaan Barisan Nasional pada ceramah di Kamunting, Perak malam tadi.

Bersama-sama beliau para pimpinan dan aktivis terkemuka HARAPAN yang menambah perencah ucapan mereka dengan jenaka berkenaan Akta Keselamatan Dalam Neeri 1960 (ISA) yan telah dimansuhkan itu.

Kamunting, sebuah pekan di utara Taiping dikenali sebagai pusat tahanan ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Mahathir ketika menjadi perdana menteri dituduh menggunakan ISA terhadap seteru politiknya bagi memperkukuh kekuasaannya.

Beberapa penceramah dalam majlis malam tadi, terutamanya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan aktivis sosial Hishamuddin Rais pernah ditahan di kem Kamunting semasa Mahathir menjadi perdana menteri.

Jadi PM betulkan kesalahan

Bagaimanapun, mereka mengenepikan persengketaan lama, sekutu baru Mahathir ini sebulat suara mengisytiharkan beliau sebagai calon perdana menteri mereka kepada ribuan yang hadir ke ceramah.

"Adakah Mahathir nak naik jet eksekutif, apakah Mahathir nak jalan di permaidani merah, adakah Mahathir nak makan di istana antarabangsa?

"Itu semua dia dah lalui. Mahathir jadi PM nak betulkan kesalahan," kata Mohamad Sabu.

Ketua Menteri Pulau Pinang pula berkata jika HARAPAN menang, pakatan itu akan kembali ke era Mahathir yang tidak mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

"Kita bukan saja nak buang BN, kita nak buang GST," kata Lim.

Manakala Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail ketika berucap mengaitkan pengalaman suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah ditahan di Kamunting.

"ISA dulu pun boleh disalahgunakan dan dia ceritakan di sebelah sel dia bukan saja Dr Seyd Husin Ali tapi seorang Tionghua yang ditangkap. Dia pekerja di kedai Cina.

"Tauke komunis. Dia tak komunis. Ini tunjukkan ketidakadilan berlaku," kata beliau.

Namun demikian, Wan Azizah yang memperkenalkan Mahathir sebagai calon perdana menteri berkata Anwar bukan seorang pendendam.

"Tapi, Anwar tidak ada dendam.

"Perjuangan ini bukan untuk jawatan, kita bekerja untuk masa depan negara bersama," kata beliau lagi.

Penipuan pesong keputusan pilihan raya

Hishamuddin yang mewakili Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berjenaka tentang hubungannya yang dekat dengan Kamunting kerana pernah ditahan lebih dua tahun di sana.

"Warga kamunting, saya takkan lupakan Kamunting. Kamunting kampung saya juga," kata Hishamuddin yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Hishamuddin membangkitkan keprihatinan BERSIH berkenaan pengundian awal dan memberi amaran penipuan akan memesongkan keputusan pilihan raya.

Mahathir ketika naik ke atas pentas ceramah berkata beliau mahu kembali menjadi perdana menteri pada usia 92 tahun bukanlah kerana keinginan untuk berkuasa, sebaliknya ia menjadi suatu kemestian.

Gembelingkan tenaga, jatuhkan Najib

"Saya sudah menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Bukan niat saya untuk jadi perdana menteri lagi. 22 tahun sudah mencukupi," kata beliau.

Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU berkata beliau bermuafakat bersama bekas seteru politiknya bagi menghadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang didakwa memusnahkan negara.

"Kita dah dapat cukup dah, tapi kita berpendapat Datuk Seri Najib sedang rosakkan negara maka kita ketepikan fahaman berbeza antara kita.

"Kita bergabung, kita buat Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya dengan HARAPAN ini kita dapat menggembelingkan tenaga rakyat Malaysia untuk menjatuhkan Najib," kata beliau.

Lihat Komen
ADS