Kerajaan telah meluluskan penubuhan Jabatan Parlimen Malaysia yang akan mengendalikan urusan pentadbiran membabitkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkuatkuasa pada 15 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohamed Nazri Aziz berkata, jabatan baru itu akan mempunyai 232 kakitangan dan dijangka dapat meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melantik seorang ketua pengarah jabatan tersebut tidak lama lagi, yang diletakkan di bawah kuasa menteri.

"Ini kerana Setiausaha Dewan Rakyat bukan terletak di bawah saya, sebaliknya Speaker, ini menyebabkan selama satu tahun, saya tidak boleh mengadakan mesyuarat pasca kabinet kerana tidak ada pegawai.

"Jadi selepas ini, dengan adanya ketua pengarah, barulah saya dapat mengadakan mesyuarat pasca kabinet dan menyampaikan segala keputusan kabinet berhubung segala urusan Parlimen," katanya pada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Nazri berkata, dengan adanya ketua pengarah itu nanti, setiausaha Dewan Rakyat tidak lagi dibebankan dengan tugas pentadbiran Parlimen, sebaliknya menumpukan kepada urusan perjalanan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Setiausaha Dewan Rakyat dan Negara juga bertanggungjawab terhadap prosiding dewan seperti penyediaaan Kertas Aturan Urusan Mesyuarat, mengeluarkan notis mesyuarat kepada anggota Parlimen dan kementerian.

Mengenai tugas ketua pengarah pula, Nazri berkata, beliau akan melaksanakan urusan memberi kemudahan kepada ahli Parlimen seperti yang dimaktub pada Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.