Seorang pengurus sebuah kilang di kawasan Bayan Lepas, merupakan mangsa terbaru demam denggi yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Negeri, P. Subbaiyah berkata lelaki berusia 45 tahun dari Sungai Nibong Kecil itu dimasukkan ke Hospital Pantai Mutiara di sini sejak Isnin lalu.

Setakat ini, hanya satu kes demam denggi berdarah yang masih dirawat di ICU di negeri ini, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.

Semalam, seorang mangsa berusia 31 tahun dilaporkan dimasukkan ke ICU Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaannya telah beransur pulih dan kini ditempatkan di wad terbuka hospital itu.

Subbaiyah berkata sehingga kini, terdapat 96 kes disyaki denggi dirawat di hospital kerajaan di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, 59 di HPP, Hospital Balik Pulau (22), Hospital Seberang Jaya (sembilan), Hospital Kepala Batas (dua) dan Hospital Bukit Mertajam (empat).

Selain itu, 42 orang dirawat di hospital swasta, termasuk mangsa terbaru itu, katanya.

Beliau berkata, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital kian meningkat berikutan kesedaran orang ramai untuk mendapatkan rawatan awal apabila demam kerana bimbang dijangkiti denggi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kerajaan negeri sedang melipatgandakan usaha memerangi denggi dengan melibatkan penyertaan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Subbaiyah berkata pelan tindakan tiga cara iaitu memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, mengesan larva yang dijangkiti denggi dan menghapuskan nyamuk dewasa, perlu dilakukan segera untuk mengawal populasi nyamuk.

Beliau juga menerima aduan daripada penduduk di negeri mengenai kegiatan segelintir pengusaha kedai tayar yang membiarkan tayar buruk dan terpakai berlonggok di perkarangan kedai dan menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada peniaga terbabit bahawa tindakan menyaman atau mengenakan kompaun akan diambil terhadap mereka oleh pihak berkuasa.