Kerajaan PAS K'tan umum bajet prihatin, mesra rakyat
Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengumumkan Belanjawan Prihatin dengan peruntukan yang seimbang dan menjurus kepada memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dengan memberi keutamaan kepada golongan kurang berkemampuan.
Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengumumkan Belanjawan Prihatin dengan peruntukan yang seimbang dan menjurus kepada memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dengan memberi keutamaan kepada golongan kurang berkemampuan.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Pas-Chempaka) berkata Bajet 2006 yang lebih mesra rakyat, memberi tumpuan yang lebih kepada meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi pendekatan pembangunan sosial yang holistik dan seimbang.
"Tumpuan khusus diberikan kepada anak yatim, ibu tunggal, kebajikan dan pembangunan wanita, kebajikan bukan Islam dan Orang Asli, aktiviti belia, subsidi baja padi, projek rumah awam kos rendah dan bantuan kesihatan rakyat terutama golongan kurang upaya dan penghidap penyakit kronik," katanya.
Nik Aziz berkata demikian semasa membentangkan belanjawan 2006 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Menurutnya, Bajet 2006 sekali lagi adalah bajet defisit sebanyak RM26.64 juta atau 23.95 peratus, dengan hasil dianggarkan sebanyak RM336.67 juta dan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM363.32 juta.
Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz berkata, jumlah itu berkurangan berbanding dengan defisit pada bajet asal tahun ini iaitu RM35.03 juta.
Katanya, anggaran Hasil Negeri tahun depan sebanyak RM336.67 juta juga menunjukkan peningkatan berbanding Anggaran Hasil Tahunan 2005 yang berjumlah RM276.82 juta.
Perbelanjaan meningkat
Bagaimanapun, katanya, peningkatan itu masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mengurus yang turut meningkat.
Anggaran hasil sebanyak RM336.67 itu meliputi hasil cukai sebanyak RM75.31 juta, hasil bukan cukai (RM136.85 juta) manakala terimaan bukan hasil (RM124.51 juta).
Menurut laporan Bernama, jumlah itu juga menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 21.62 peratus atau RM59.85 juta berbanding anggaran hasil tahunan 2005 yang berjumlah RM276.82 juta.
Pertambahan hasil pada tahun depan dijangka berpunca daripada kenaikan sumber hasil tertentu, terutamanya hasil hutan yang merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan hasil negeri. Hasil hutan dijangka mencecah RM87.0 juta (25.84 peratus), hasil tanah RM79.72 juta (23.68 peratus) dan cukai tanah RM21.37 juta.
Anggaran perbelanjaan mengurus pada tahun depan juga meningkat RM51.47 juta berbanding RM311.85 juta tahun ini, dengan perbelanjaan tanggungan sebanyak RM35.84 juta dan perbelanjaan bekalan berjumlah RM327.47 juta, kata Nik Abdul Aziz.
Pihak Kerajaan Tempatan menerima peruntukan perbelanjaan paling besar iaitu RM27.33 bagi membina dan menyelenggara infrastruktur di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti jalan, parit, longkang serta kemudahan kepada penjaja, landskap, sukan dan rekreasi.
Peruntukan pembangunan tahun ini berjumlah RM101.59 juta dibiayai di bawah peruntukan kerajaan negeri memberi fokus kepada penyediaan prasarana dan kemudahan bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat.
Baikpulih jalan, jambatan
Selain itu, Jabatan Kerja Raya negeri Kelantan diperuntukkan sebanyak RM14.5 juta untuk membina dan membaikpulih jalan dan jambatan negeri serta bangunan kerajaan.
Sebanyak RM9 juta untuk menambah baik dan menaiktaraf kemudahan bangunan pejabat kerajaan negeri termasuk bangunan pejabat penggawa bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik diberikan kepada rakyat.
Nik Aziz juga berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM19.24 juta untuk program perumahan rakyat dengan beberapa projek pembinaan sedang dan bakal dilaksanakan.
Peruntukan RM447,000 untuk meningkatkan taraf hidup nelayan serta sebanyak RM1 juta untuk program pembangunan tanah terbiar dan penternakan sebagai satu usaha meningkatkan pengeluaran makanan dalam negeri.
Dalam bidang pertanian yang diberi penekanan khusus kerajaan negeri, peruntukan sebanyak RM53.54 juta disediakan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan pertanian.
Sebanyak RM40.5 juta diperuntukkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk melaksanakan program pendidikan selain RM2.5 juta bagi projek pembinaan baru, menaiktaraf dan menyelenggara sekolah di bawah YIK.

