Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini sempat bergurau dengan wartawan mengenai teka-teki berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas hadir pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat.

Najib selepas berjalan keluar dari Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen untuk menuju ke kenderaan beliau sempat berhenti sebentar sambil bertanya kepada para wartawan yang mengikutinya bila tarikh untuk diadakan pilihan raya.

“Bila nak pilihan raya? Nak umum apa pula hari ini,” soal beliau yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 5 April, manakala Dewan Negara dari 16 April hingga 30 April selama sembilan hari.

Sebelum ini, terdapat pelbagai spekulasi berhubung tarikh pilihan raya ke-14 (PRU14).

Terbaru, akhbar Straits Times Singapura memetik pakar strategi BN meramalkan bahawa PRU14 akan diadakan pada minggu ketiga April.

Bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada akhir April, ini bermakna Parlimen akan dibubarkan bulan ini, ketika sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung.

Pada 18 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan PRU14 mungkin diadakan sebelum Aidilfitri tahun ini.

Beliau, pada November tahun lalu, memberi bayangan bahawa PRU14 bakal diadakan selepas Tahun Baru Cina tahun ini.

Setakat ini, belum ada petanda yang jelas bila Parlimen akan dibubarkan. Najib secara teknikal boleh menunggu sehingga 24 Jun untuk pembubaran parlimen secara automatik bagi PRU-14.

Namun, pertimbangan lain adalah bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan dibebaskan dari penjara pada 9 Jun. Ramai pemerhati politik percaya BN tidak akan menunggu sehingga Anwar dibebaskan sebelum membubarkan parlimen.

Ada juga akhbar Cina yang meramalkan Najib berkemungkinan akan membubarkan Parlimen seawal akhir Februari, bagi pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac atau April.

Mereka turut membuat spekulasi bahawa pilihan raya tidak akan diadakan lebih lewat daripada 17 Mei - permulaan bulan Ramadan.