Terjemahan Adakah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berdepan dengan tekanan daripada rakan-rakan sejawatannya dalam kabinet?

Berdasarkan kepada isi wawancaranya dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berpendapat itulah yang berlaku.

"Adakah beliau kini telah menyedari walaupun merupakan menteri kedua paling lama berkhidmat beliau tidak ramai kawan, penyokong dan mereka yang bersimpatinya dengan dalam kabinet," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafidah telah mengecam Lim dalam wawancara dengan akhbar New Straits Times apabila diminta mengulas mengenai desakan Ketua Pembangkang itu supaya beliau meletakkan jawatan berhubung kontroversi Permit Import (AP).

"Saya tidak peduli apa pun Lim Kit Siang suruh saya buat. Dia bukan perdana menteri.

"Lim Kit Siang boleh terjun lombong....dan begitu juga dengan yang lain-lainnya. Saya dilantik oleh Perdana Menteri....dan tiada siapa yang mengatasi kuasa perdana menteri mengenai kedudukan mana-mana menteri dalam kabinet.

"Jangan biarkan sesiapa merasakan yang mereka setaraf atau lebih tinggi daripada perdana menteri," jawabnya.

Menurut Lim lagi, berdasarkan kepada jawapan tersebut, pemerhati politik yang bijaksana akan dapat merasakan bahawa beliau bukanlah sasaran utama Rafidah.

Sebaliknya, kata beliau, Rafidah nampaknya mensasarkan 'orang-orang tertentu', kerana 'orang-orang inilah' yang cuba bertindak melebihi kuasa perdana menteri mengenai kedudukannya dalam kabinet.

Menuding jari

"Dan mereka menuding kepada menteri kabinet yang lain, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Lim juga tertanya-tanya sama ada itulah sebabnya mengapa Rafidah hadir di Dewan Rakyat semalam walaupun beliau sepatutnya sudah bercuti untuk menjalani pembedahan lututnya.

Katanya, mungkin itu jugalah sebabnya mengapa didedahkan yang Rafidah akan terus menjalani tugas-tugas rasminya sepanjang tempoh tiga minggu menjalani rawatan.

Lim juga bertanya apakah Rafidah bimbang pemangku menteri dilantik dilantik sewaktu tempoh beliau sebulan bercuti, akan menemui kepincangan dalam kementeriannya.

Mengenai kenyataan Rafidah 'supaya beliau terjun lombong", Lim berkata beliau tidak akan membalas kenyataan menteri itu kerana sebenarnya tiada masalah peribadi antara mereka.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah mengenai kegagalan Rafidah memberi penjelasan yang memuaskan mengenai persoalan mengenai AP dan dasar automobil negara, sepertimana juga yang disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen yang lain./ Berita asal