Seorang veteran PAS berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin boleh dianggap mewujudkan banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Bagaimanapun kata Subky Latif peluang itu bukanlah untuk rakyat di negara ini sebaliknya buat warga asing, terutama Bangaldesh dan Indonesia.

Kata bekas pengarang di Utusan Melayu itu, pada masa sama masyarakat menganggap Najib sudah membazirkan sekian banyak jurutera dan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini yang sukar mendapat pekerjaaan yang sesuai.

"Kalau jurutera berniaga nasi lemak, orang ajaib akan pilihannya, (dan) persepsi semua (orang) ia adalah tanda teruknya kerajaan dan urusan negara kita sekarang.

"Jurutera Bangladesh dan Indonesia boleh datang kerja di Malaysia, tetapi jurutera kita yang menganggur hendak ke mana?" kata Subky dalam tulisan terbaru kolumnya di harakahdaily hari ini.

Isu jurutera dan lepasan IPT dalam negara yang menjadi penjual nasi lemak ditimbulkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal pertengahan Jan lalu.

Tawaran banyak, permintaan kurang

Kata bekas perdana menteri itu kewujudan lepasan IPT yang terpaksa menjual nasi lemak, menjadi pemandu Uber atau seumpamanya adalah petanda kegagalan kerajaan di negara ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata seseorang rakyat di negara ini memasuki universiti bukan untuk menjadi penjual nasi lemak atau pemandu.

Katanya, golongan terbabit menyara hidup dengan menjual nasi lemak atau pemandu Uber kerana tiada peluang pekerjaan.

"Kalau kita nak (mereka jadi) jual nasi lemak, kita patut ada universiti yang mengajar kita bagaimana nak jual nasi lemak," katanya.

Seminggu kemudian Dr Mahathir sekali lagi membangkitkan isu lepasan IPT dalam bidang profesional yang "terpaksa" membuat kerja rencam seperti menjual nasi lemak.

"Jika kita membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk melatih orang yang akhirnya (terpaksa) menjual nasi lemak, ia satu pembaziran.

"Jika mereka betul-betul mahu jual nasi lemak, tidak perlu kita jadikannya sebagai jurutera," katanya.

Menurut Subky nilai kerajaan Malaysia dapat dilihat kepada keadaan sekarang apabila ada jurutera terpaksa berniaga nasi lemak untuk "sesuap pagi dan sesuap petang."

Pada masa sama veteran PAS itu menegaskan tiada yang hina apabila seseorang berniaga nasi lemak, malah ia jauh lebih mulia berbanding menjual dadah atau memperdagangkan manusia.

"Jurutera yang jual nasi lemak adalah gara-gara ramainya orang berkelulusan tinggi tetapi tiada pekerjaan.

"Universiti Perguruan Sultan Idris mengeluarkan ribuan graduan guru, tetapi tidak cukup sekolah untuk menampung mereka.

"Sekarang bukan saja lulusan tinggi payah dapat kerja, ribuan yang sudah bekerja (pula) dibuang kerja," katanya.