Salleh: Komen isu Equanimity dibuat ikut fakta
Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mempertahankan kenyataannya bahawa tiada bukti menunjukkan kapal persiaran mewah Equanimity adalah milik Jho Low.
Mengulas mengenai penyitaan kapal berkenaan di Teluk Benoa, Bali pada akhir Feb lalu Salleh berkata apa yang dikatakannya sebelum ini adalah berdasarkan penelitian fakta dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB.
“Kita lihat dokumen yang ada dalam saman tersebut. Ia satu dakwaan bahawa kapal berkenaan adalah milik Jho Low.
"Tapi tahun lepas siasatan digantung dan sekarang tiada dokumen yang mengatakan sedemikian (kapal itu milik Jho Low)," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Justeru kata Salleh beliau tidak sama sekali membela ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan dana 1MDB berkenaan.
Sebaliknya kata Salleh beliau hanya menyatakan apa yang menjadi fakta kes.
Bukan berdasarkan andaian
Salleh berkata demikian mengulas teguran Tan Sri Rais Yatim terhadapnya kerana terlalu awal mengeluarkan kenyataan berhubung kapal layar Equanimity.
Rais yang juga penasihat sosiobudaya kepada kerajaan berkata Salleh bertindak terlalu cepat menidakkan kapal mewah itu bukan milik Jho Low.

"Seeloknya tunggu dulu. Jho Low dah menuduh Amerika (Syarikat) dan Indonesia keterlaluan.
"Jelas sudah, Jho Low berkepentingan," ciap beliau dalam hantaran terbaru di Twitter pada 3 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Salleh berkata bekas menteri Umno yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang undang-undang itu mungkin tidak melihat kenyataan beliau secara keseluruhan.
Sebaliknya kata Salleh, Rais mungkin hanya melihat kenyataan itu dari satu aspek saja.
“Pada pandangan saya, dia (Rais) lihat dalam satu sudut saja. Kita kena bicara fakta. Mungkin kita berbeza pendapat kerana melihat dari naratif yang berbeza.
“Saya lihat daripada fakta yang ada pada saya dan keadilan itu bukan berdasarkan andaian kita, keadilan itu berdasarkan fakta,” katanya.
Kapal layar itu ditahan di Bali dan menjadi buruan pihak berkuasa AS sejak 2015 dan disyaki bersembunyi di Indonesia.

