Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bayaran RM3 juta: Azeez tuntut Lim mohon maaf, tarik kenyataan

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim hari ini menuntut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menarik balik kenytaaan yang mengaitkan dirinya dengan bayaran RM3 juta daripada Konsortium Zenith Construction berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Selain itu, Abdul Azeez yang juga adalah ahli majlis tertinggi Umno memberi Lim tempoh sehingga minggu depan untuk membuat permohonan permohonan maaf secara terbuka menerusi media arus perdana, media cetak dan portal dalam talian atau berdepan tindakan saman.

Beliau berkata, peguamnya sudah menyerahkan surat tuntutan berhubung perkara itu kepada wakil Lim semalam dan tindakan lebih serius akan dilaksanakan jika Lim yang juga adalah setiuasaha agung DAP gagal memohon maaf serta menarik semula tuduhan palsunya.

"Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar tuntutan kepada Lim, surat telah dihantar ke pejabat Lim semalam sekitar jam 3.40 petang dan surat seterusnya telah dihantar ke rumah beliau di Jalan Pin Hon, Pulau Pinang pada jam 4.30 petang, semalam.

"Saya telah menyaman beliau dan ini surat bukti dan pejabat beliau telah menerima surat ini," katanya sambil menunjukkan surat saman tersebut.

"Dalam surat tuntutan itu juga saya meminta beliau menarik balik semua kata fitnah terhadap saya, parti keramat Umno, Tabung Haji dan rakyat Baling sebab beliau telah menyatakan saya selaku pengerusi Tabung Haji adakah layak untuk saya menjawat jawatan itu dan kedua menyatakan bahawa Umno yang telah menerima duit itu," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Lim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3 juta oleh Konsortium Zenith untuk khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahad lalu, Abdul Azeez memaklumkan Konsortium Zenith menyerahkan notis menarik balik tuntutan dan meminta maaf secara terbuka kerana mengaitkannya dengan projek terbabit.

Beliau berkata, Lim kerap menyebutnya sebagai Ahli Parlimen Umno Baling dan mendakwa Umno menerima duit berkenaan, serta mempertikai kredibilitinya sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam kenyataan fitnahnya, termasuk yang disiarkan di TV3, semalam.

"Malam tadi, TV3 tunjuk Guan Eng tayang wajah saya seperti saya seorang penjenayah besar minta SPRM tahan saya, dan tanya adakah alasan mereka tak tahan saya kerana saya Ahli Parlimen Umno Baling.

"Jangan kaitkan Tabung Haji yang memiliki sembilan juta pendeposit dan Umno yang memiliki tiga juta ahli.

"Mereka semua nak tahu kenapa saya difitnah dan kenapa Tabung Haji dan Umno dikaitkan.

“Saya terima 800 panggilan sejak semalam hingga pagi tadi selepas dakwaan Guan Eng disiarkan di TV3," katanya sambil menegaskan, beliau tiada kena mengena dengan Konsortium Zenith.

Lihat Komen
ADS