Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rafizi: 1MDB tidak berikan TH diskaun beli tanah
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 6:00 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa bahawa laporan kewangan yang diaudit dari sebuah firma Indonesia yang membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) mendedahkan keraguan berhubung dakwaan bahawa Tabung Haji (TH) membeli tanah daripada 1MDB pada harga diskaun.

Katanya, pada tahun 2015, TH terheret dengan kontroversi selepas didedahkan mereka membeli plot seluas 1.56 ekar di TRX daripada 1MDB pada harga RM188.5 juta atau RM2,774 seunit kaki persegi.

Walau bagaimanapun, akaun yang telah diaudit Mulia Property Development Sdn Bhd menunjukkan bahawa TH membayar RM403.9 juta atau RM2,769 per kaki persegi untuk plot seluas 3.4 ekar dalam TRX.

“TH bukannya membeli tanah di TRX pada harga yang mendapat diskaun seperti yang dijelaskan dalam tahun 2015, sebaliknya lebih mahal jika dibandingkan dengan harga jualan kepada Mulia Group dari Indonesia.

“Pengumuman 1MDB dan kerajaan Malaysia sebelum ini bahawa tanah dijual kepada Mulia Group pada harga premium sehingga 62 peratus lebih mahal dari harga hartanah berdekatan, adalah bercanggah dengan harga yang dilaporkan di dalam penyata kewangan diaudit,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan, berkata fakta yang didedahkannya itu menunjukkan bahawa TH tidak menerima sebarang layanan istimewa daripada 1MDB.

Ketika itu, Tabung Haji dituduh cuba menyelamatkan 1MDB, firma dana pelaburan negara yang mengalami masalah aliran tunai yang teruk akibat hutangnya yang besar.

Ini khususnya, cukup sensitif buat umat Islam yang tidak bersetuju wang simpanan mereka untuk ke tanah suci kelak digunakan untuk tujuan menyelamatkan 1MDB.

Sifat rahasia perjanjian itu - pertama kali dibongkar oleh seorang blogger tanpa nama yang menyalin salinan dokumen dalaman Tabung Haji sebagai bukti - juga menambahkan kekalutan isu itu.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, berkata, Tabung Haji membayar harga untuk sebidang tanah kecil bersamaan dengan apa yang dibayar oleh 1MDB untuk membeli tanah itu dari Putrajaya pada tahun 2010.

Seminggu selepas berita mengenai kontroversi Tabung Haji didedahkan, 1MDB mengumumkan bahawa Mulia Group telah membeli sebidang tanah di TRX pada harga RM655 juta dan kemudiannya disahkan bahawa firma itu hanya membeli plot seluas 3.4 ekar.

Rafizi berkata siasatannya menyimpulkan bahawa harga mahal RM655 juta itu berbanding dengan RM403.9 juta yang dinyatakan di dalam akaun yang diaudit, bertujuan memberi gambaran kononnya Tabung Haji telah mendapat diskaun dari jualan tanah oleh 1MDB.

“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak: adakah pengumuman 1MDB dalam tahun 2015, iaitu semasa beliau masih menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB – adalah satu pembohongan yang bertujuan menipu rakyat kononnya Tabung Haji membeli tanah pada harga diskaun dari 1MDB untuk meredakan kemarahan rakyat?

“Saya akan menyambung pendedahan ini esok sementara menunggu maklum balas 1MDB danNajib,” katanya.

Lihat Komen
ADS