Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ramai rasa DAP anti-Islam, mesti ada benarnya'
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 12:04 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

WAWANCARA | Bagi musuh politiknya, DAP sentiasa didakwa akan mengancam hak-hak orang Melayu dan kedudukan Islam.

Bagi DAP, ini semua propaganda Umno untuk memberikan gambaran salah terhadap mereka demi mengalihkan perhatian terhadap skandal-skandal yang menjadi perhatian.

Veteran DAP Lim Kit Siang juga terpaksa berulang kali berkata mereka menghormati perlembagaan negara, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz, yang terkenal dengan cakap lepasnya, ditanya sama ada beliau berkongsi pandangan dengan rakan-rakan lainnya dalam Umno.

“Apa yang saya fikir tentang DAP mesti berasaskan fakta.

“Pertama, kita lihat komposisi parti itu. Mereka dakwa parti rakyat Malaysia tetapi bila sampai masa untuk pilih jawatan utama, kamu nampak, ia menyebelahi anggota berbangsa Cina.

“Jadi kita yang memerhati dari luar, kita hanya boleh lihat niat bagaimana mereka akan mara melalui (corak) pengundian anggota mereka.

“Sebagai orang luar, saya akan buat kesimpulan DAP parti Cina,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata kenyataan pemimpin-pemimpin kanan DAP sebelum ini secara tidak langsung menyumbang ke arah tanggapan itu.

Menurut menteri Umno itu, berdasarkan komen-komen itu, kesimpulan dibuat bahawa “...sebahagian mereka tidak gembira dengan kedudukan Islam dalam perlembagaan”.

“Dan usaha mereka menyampaikan konsep Malaysian Malaysia, kamu lihat ada unsur-unsur 'anti-Islam' walaupun ia tidak dinyatakan secara langsung.

“Ramai orang Islam rasa mereka anti-Islam dan mesti terdapat unsur-unsur benarnya,” katanya.

Dalam politik, DAP bukan kawan saya

Sementara itu, menteri veteran itu juga menegaskan beliau tidak mempunyai hubungan politik dengan DAP.

Penafian itu dibuat setelah terdapat pemimpin MCA menuduhnya berpakat dengan pembangkang, dengan membangkitkan persahabatannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Secara politik, saya bukan kawan DAP,” katanya.

Anggota parlimen Padang Rengas sebelum ini berkata beliau juga bukan rakan MCA, walaupun parti itu sekutu utama Umno dalam BN.

Beliau mendedahkan MCA di bahagiannya memulaukannya sejak pilihan raya 2013.

“Seluruh jawatankuasa MCA Padang Rengas pulaukan saya, apa boleh saya buat? Jadi, MCA bukan kawan saya,” katanya dalam wawancara dengan China Press minggu lepas.

Pemimpin-pemimpin MCA rancak menyelar Nazir susulan kenyataan kerasnya terhadap bekas raja gula Malaysia Robert Kuok dan kerana mendakwa DAP, bukan MCA, yang mewakili masyarakat Cina Malaysia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS