'BERSATU ketuai HARAPAN tangkis retorik anti-DAP'
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu memimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mendapatkan undi Melayu dalam usaha menewaskan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Wan Saiful Wan Jan.
Beliau yang baru menyertai parti itu minggu lalu berkata dengan hanya berbuat demikian HARAPAN dapat berusaha melawan politik identiti yang sekian lama dimainkan BN.
"Jika anda benar-benar percaya kerajaan perlu ditukar, anda tidak dapat dapat tidak perlu memastikan BERSATU mengetuai gabungan (HARAPAN)," katanya dalam forum Trends in the Malay electorate: The urban Malay di Kuala Lumpur, semalam.
"Kita perlu mengambil kira realiti. Saya tidak tahu apa yang ideal - sama ada PKR yang memimpin, atau DAP atau Parti Amanah Negara (AMANAH). (Parti) mana pun, ia tidak akan berhasil.
"Mengapa masih ada perasaan tidak percaya walaupun dengan kejayaan di Selangor dan Pulau Pinang?
"Saya fikir ini kerana naratif atau retorik bahawa Pulau Pinang (didominasi) Cina, sementara di Selangor DAP dan PKR adalah liberal dan plural.
Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata orang Melayu perlu beralih daripada naratif seperti itu.

Beliau berkata sementara orang Melayu di bandar percaya HARAPAN diketuai DAP yang majoritinya Cina, Melayu di luar bandar dan peneroka Felda bimbang masyarakat Cina di negara ini mengancam gaya hidup mereka.
Umno memang sentiasa menggunakan hujah itu untuk menyerang HARAPAN dan sebelum itu Pakatan Rakyat - termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa DAP akan memerintah jika BN kalah pada PRU ke-14.
Melayu atas pagar
Wan Saiful yang kini menjadi timbalan ketua Biro Dasar dan Strategi BERSATU juga mengkritik pemimpin Melayu yang lebih rasional kerana membisu dan bersikap "tidak berpihak" ketika berdepan naratif seperti itu.
"Kita masih tidak bergerak daripada politik identiti ini kerana Melayu yang berfikiran kritikal tidak mengambil sikap.
"Mereka lebih suka menjadi 'tidak berpihak, tidak bersuara tentang apa yang mereka percaya. Saya kenal dan telah berjumpa dengan ramai orang seperti mereka.
"Orang Melayu adalah masyarakat yang menghormati pemimpin dan orang yang lebih tua. Apabila mereka (Melayu yang kritikal) tidak bersuara, orang Melayu lain akan ikut mereka yang bersuara," katanya lagi.
Wan Saiful berkata HARAPAN akan menyentuh naratif kaum itu dalam manifesto pilihan rayanya yang dijangka dibentangkan 8 Mac ini.

