Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menang atau kalah HARAPAN tetap tunai manifesto

Sama ada menang atau kalah di peringkat pusat, Pakatan Harapan (HARAPAN) tetap akan menunaikan janji manifestonya kepada rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah berkata manifesto mengandungi 60 janji itu akan tetap dilaksanakan di negeri-negeri ditadbir HARAPAN jika hasrat menawan Putrajaya tidak kesampaian.

"Ya kita akan laksanakan secara keseluruhan. Setiap negeri juga ada tawaran sendiri. Ia lebih fokus kepada tempatan, ibarat manifesto mini. (Manifesto) Sabah dan Sarawak dah dilancarkan September tahun lepas," katanya dalam sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya apakah akan terjadi dengan manifesto tersebut jika HARAPAN gagal tawan Putrajaya.

Manifesto HARAPAN yang dijadual dibentang esok akan memperkenalkan kaedah untuk mengehadkan kuasa di peringkat pusat dan juga negeri - termasuk had penggal bagi pemimpin.

Manifesto itu merangkumi sepuluh janji yang akan dicapai dalam masa 100 hari pertama pentadbiran dan 60 janji jangka panjang yang akan dilakukan dalam masa lima tahun pertama.

BERSATU tarik pengundi luar bandar

Sementara itu Saifuddin menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) penting untuk membolehkan HARAPAN menarik sokongan pengundi luar bandar dan kawasan Felda pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Saifuddin, keupayaan BERSATU itu membuatkannya unik daripada parti komponen HARAPAN yang lain kerana sebelum ini pembangkang sukar mendapat kepercayaan daripada pengundi di kawasan-kawasan itu.

"Bagaimanapun kita akui BERSATU mempunyai peranan yang unik untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi Melayu terutamanya dari kawasan Felda dan luar bandar.

"Dalam konteks itu memang BERSATU mempunyai peranan yang istimewalah," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan hari ini menyatakan bahawa BERSATU perlu memimpin HARAPAN untuk mendapatkan undi Melayu dalam usaha menewaskan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang baru menyertai parti itu minggu lalu berkata dengan hanya berbuat demikian HARAPAN dapat berusaha melawan politik identiti yang sekian lama dimainkan BN.

 

 

 

Lihat Komen
ADS