Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rundingan HARAPAN Selangor: Tinggal enam kerusi lagi

Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor masih belum dapat menyelesaikan tuntutan bertindih bagi enam kerusi negeri selepas pusingan ketiga rundingan rasmi semalam.

Setiausaha gabungan itu, Zuraida Kamaruddin berkata enam kerusi berkenaan adalah Sungai Burong, Sungai Panjang, Seri Serdang, Lembah Jaya, Kota Damansara dan Dusun Tua.

Zuraida walau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Bagaimanapun, beberapa sumber mendedahkan bahawa PKR dan BERSATU masing-masing mahu semua enam kerusi itu, sementara AMANAH menuntut lima dan DAP mahu dua daripadanya.

Pada tahun 2013, Pakatan Rakyat memperuntukkan lima kerusi berkenaan, kecuali Kota Damansara, kepada PAS.

Sungai Panjang, Sungai Burong dan Kota Damansara adalah kerusi majoriti Melayu yang kini dipegang oleh BN.

Di Kota Damansara, BN menang dengan kurang daripada 50 peratus undi popular dalam pertandingan pelbagai penjuru selepas PAS memutuskan untuk menurunkan calon parti itu pada minit terakhir.

Kerusi Dusun Tua, Lembah Jaya dan Sri Serdang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang lebih tinggi. Ketiga-tiga kerusi itu dimenangi oleh PAS pada tahun 2013.

Ketika ditemui semalam selepas mesyuarat dua jam itu, Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Selangor, Dr Xavier Jeyakumar berkata kemajuan luar biasa berjaya dicapai.

"Ini mesyuarat yang sangat berjaya, kami hanya mempunyai enam kerusi yang bertindih," katanya.

Xavier berkata Pengerusi HARAPAN Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali akan mengambil alih perkara itu dan mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua parti gabungan lain minggu depan.

"Saya yakin (Azmin) boleh menyelesaikan (enam kerusi yang bertindih itu). Mesyuarat seterusnya dijadualkan pada minggu depan," katanya.

Walaupun di kebanyakan negeri-negeri lain, HARAPAN berjaya mengagihkan sebahagian kerusi tanpa banyak masalah, di Selangor, lain pula halnya. Kerumitan timbul apabila mereka cuba mengagihkan kerusi yang pernah diperuntukkan kepada PAS.

PAS memenangi 15 kerusi dalam dewan negeri pada 2013. Mengikut rancangan awal, HARAPAN Selangor sepatutnya menyelesaikan rundingan kerusi pada 31 Januari lalu.

Lihat Komen
ADS