Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bila tirai politik Najib berlabuh, saya akan pergi, kata Nazri

WAWANCARA l Selepas bekerja bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selama hampir empat dekad, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berharap dapat menamatkan kerjaya politiknya bersama "teman dan sekutunya" itu.

"Ia harus berakhir apabila kerjayanya (Najib) berakhir ... Atau jika dia menamatkan (kerjaya) saya terlebih dahulu ...," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai cita-cita politiknya.

Nazri, 64, berkata beliau telah berkhidmat sebagai menteri selama 19 tahun dan menganggap tempoh itu sebagai "terlalu lama".

"Kecuali, saya adalah perdana menteri ...," katanya secara berseloroh.

Ahli majlis tertinggi Umno itu juga mendedahkan bahawa beliau tidak mempunyai rancangan untuk bertanding jawatan lebih tinggi daripada kedudukan sekarang dalam parti itu.

"Masa saya sudah berlalu lah,” katanya ketika ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding jawatan naib presiden Umno.

Terkenang masa silam

Nazri juga terkenang masa silam ketika Najib dan dirinya sama-sama “bangkit” menjadi pemimpin tertinggi dalam Pemuda Umno.

Najib menggantikan bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua Pemuda Umno pada tahun 1987 dan Nazri dengan berat hati menjadi pemimpin nombor dua pergerakan itu.

"Apabila PM adalah ketua Pemuda Umno, saya timbalannya. Bukan dengan pilihan, saya tidak mahu...," katanya.

Apabila Najib memutuskan untuk bertanding jawatan naib presiden, Nazri berkata beliau menjelaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menggantikannya sebagai ketua Pemuda.

"Saya kata kepada Najib, saya tidak mahu menggantikannya. Bila kamu pergi, saya pergi ...," katanya.

Nazri bagaimanapun terpaksa memegang jawatan pemangku ketua Pemuda Umno selama dua tahun antara 1994 dan 1996 ketika pengganti Najib, Tan Sri Rahim Thamby Chik disiasat oleh polis.

"Apabila PM pergi, dia kata kepada saya secara khusus, 'Nazri, saya pergi, hanya kerana saya tahu kamu akan ganti saya, dan saya tahu kamu akan menjaganya (Pemuda Umno) dengan baik," kata Nazri.

Mengenai pemilihan Umno akan datang, Nazri mengulangi keputusannya untuk tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi.

"Saya tidak akan tanding naib presiden kerana ini bererti bahawa suatu hari saya perlu menggantikannya (Najib), ini saya tidak mahu. Saya cuma mahu apabila dia pergi, saya pergi. Itu sahaja. Akhir cerita, selamat tinggal.

"Saya tidak mahu bekerja untuk orang lain. Dia kawan dan dia juga sekutu saya. Saya selalu menjadi pembantunya ...," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS