Bank Islam kerugian RM480 juta
BIMB Holdings Bhd mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM480 juta pada peringkat bank bagi tahun yang berakhir pada 30 Jun 2005.
BIMB Holdings Bhd mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM480 juta pada peringkat bank bagi tahun yang berakhir pada 30 Jun 2005.
Ini bererti kerugian sebelum cukai yang dialami pada peringkat kumpulan berjumlah RM400 juta, kata Pengarah Urusan BIMB, Datuk Noorazman A. Aziz di Kuala Lumpur hari ini.
BIMB membuat peruntukan sebanyak RM774 juta bagi tahun dalam kajian, kata beliau dalam sidang akhbar yang diadakan bagi mengumumkan keputusan kewangan bank itu.
Satu peratusan besar peruntukan dibuat bagi pinjaman tidak berbayar (NPL) unit luar pesisir bank itu, Bank Islam (L) Ltd (BIL), yang ditukar menjadi Bank Islam cawangan Luar Pesisir Labuan (BILOB) pada Disember 2004 untuk mempertingkatkan penyeliaan dan memupuk amalan pengurusan risiko yang lebih ketat.
Menurut laporan Bernama, dengan peruntukan itu, NPL bank itu berjumlah RM1.16 bilion setakat 30 Jun 2005, bersamaan nisbah bersih 12.46 peratus berbanding purata industri, 5.1 peratus.
NPL kasar berjumlah RM2.23 bilion dan daripada jumlah ini, RM1.66 bilion akan diambil dan dipindahkan kepada jentera khas yang akan menguruskan portfolio aset yang bermasalah, manakala baki RM561 juta NPL itu yang terdiri terutamanya daripada pinjaman perumahan, akan dikekalkan dan diuruskan pada peringkat bank.
BIMB juga berkata, ia sedang mempertimbangkan suntikan modal bagi meningkatkan nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) bank itu bagi menyokong pertumbuhan dan membolehkannya beroperasi dengan keupayaan optimum dan mencapai RWCR yang berkekalan sebanyak 12 peratus.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.