Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan gergasi jentera Umno di Pagoh Sabtu ini
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 5:55 AM
Dikemaskini: 10:31 PM

Satu himpunan gergasi peringkat nasional yang mengumpulkan jentera Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan Sabtu ini sebagai simbolik permulaan gerak kerja jentera parti menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata acara yang bakal berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh di Johor itu dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Katanya acara itu akan turut dihadiri kira-kira 10,000 anggota dan jentera daripada kedua-dua sayap Umno itu.

“Ini merupakan pelancaran secara rasmi dan terakhir jentera kami sebelum Parlimen dibubarkan, jentera kami memang sudah mula bergerak awal lagi tetapi ini simbolik gerakan fasa terakhir,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di ibunegara semalam.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata jentera pemuda Umno di semua peringkat kini sudah bersiap sedia sepenuhnya dan hanya menunggu isyarat untuk bekerja dalam memenangi undi golongan muda.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah calon muda yang bakal bertanding pada PRU14, Khairy berkata beliau menyerahkan keputusan itu pada pimpinan tertinggi BN, namun berharap lebih ramai lagi calon muda diketengahkan kali ini.

Katanya senarai akhir calon yang sebahagian besarnya terdiri daripada muka baharu telah pun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita juga bakal mengemukakan manifesto untuk orang muda yang akan dikeluarkan selepas manifesto utama BN,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS