Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Isa Samad malam ini menerima keputusan muktamad Majlis Tertinggi (MT) parti itu menolak rayuannya walaupun tempoh penggantungannya dikurangkan kepada tiga tahun daripada enam tahun, berkuatkuasa 24 Jun lalu.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan berikutan keputusan itu.

Beliau yang dihubungi Bernama di rumahnya di Nilai malam ini berkata, demikian apabila diminta mengulas keputusan MT itu.

Bagaimanapun, Isa enggan mengulas lanjut dengan memberikan alasan beliau hendak bersembahyang.

"Tak apalah, hari lain awak boleh 'interview' lagi, saya nak pergi sembahyang. Terima kasih," katanya.

Dalam sidang media selepas mesyuarat MT hari ini, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu adalah muktamad dan rayuan tidak akan diterima lagi.

Lepas jawatan

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata Isa perlu meletakkan jawatannya dalam Kabinet.

"Itulah kelazimannya," kata Najib yang juga Timbalan Perdana Menterikepada pemberita.

Dalam mesyuarat 24 Jun lalu, Lembaga Disiplin Umno mendapati Isa bersalah terhadap lima daripada sembilan tuduhan membabitkan politik wang semasa pemilihan Umno tahun lalu.

Lembaga Displin itu memutuskan Isa digantung keanggotaan selama dua penggal atau enam tahun.

Serentak itu, Isa dilucutkan daripada semua jawatan dalam parti termasuk jawatan Naib Presiden dan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Beliau kemudian mengemukakan rayuannya kepada Panel Rayuan Umno, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamed Zuki Kamaludin pada 6 Julai lalu.

Pada pemilihan Umno lepas, Isa menang kerusi naib presiden parti dengan undi terbanyak.