Thailand bantah kenyataan Syed Hamid
Thailand hari ini membantah kenyataan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar mengenai hak asasi manusia 131 warga Thai beragama Islam yang melarikan diri ke Kelantan bulan lalu dan menyifatkannnya sebagai mencampuri urusan dalamannya.
Thailand hari ini membantah kenyataan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar mengenai hak asasi manusia 131 warga Thai beragama Islam yang melarikan diri ke Kelantan bulan lalu dan menyifatkannnya sebagai mencampuri urusan dalamannya.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow berkata, kenyataan tersebut yang disiarkan oleh agensi berita, tidak wajar dikeluarkan oleh Syed Hamid, terutama berhubung standard hak asasi manusia di Thailand dan ia juga tidak membantu mencari penyelesaian bagi pemberianstatus orang pelarian kepada kumpulan berkenaan.
"Apabila memperkatakan tentang hak asasi manusia, kami berada di barisan depan. Thailand tiada kurangnya berbanding negara lain, termasuk Malaysia," katanya dalam sidang media selepas pertemuan antara Duta Malaysia ke Thailand Datuk Shaarani Ibrahim dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Timur Nopadol Gunavoboo di Bangkok.
Sihasak berkata, Nopadol menyampaikan bantahan Thailand mengenai kenyataan Syed Hamid itu kepada Shaarani.
Katanya, kenyataan seperti itu tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi orang pelarian berkenaan dan tidak selaras dengan kerjasama antara kedua-dua negara dalam perkara berkenaan.
"Kami tidak mahu memanjangkan isu ini. Ia tidak menguntungkan kedua-dua negara," katanya.
Jaminan keselamatan
Syed Hamid dilaporkan berkata, Malaysia akan hanya menghantar pulang 131 warga Islam Thai itu ke negara asal mereka jika ada jaminan mengenai keselamatan, hak asasi dan keluruhan undang-undang yang melibatkan mereka.
Sihasak berkata, Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah berusaha dengan sedaya upaya untuk memberi jaminan kepada semua pihak bahawa keselamatan orang pelarian itu akan diberi tumpuan utama jika mereka kembali ke wilayah selatan negara ini.
Menurut laporan Brenama, kumpulan warga Thai berkenaan melarikan diri ke Kelantan berikutan keganasan yang berlaku di Yala, Narathiwat dan Pattani yang setakat ini telah meragut lebih 1,000 nyawa.
Sihasak berkata, oleh kerana Malaysia telah memberi jaminan akan bekerjasama dengan Thailand bagi menyelesaikan masalah orang pelarian itu, maka beliau harap ia akan berpegang kepada janjinya dan tidak membuat tuduhan tidak berasas yang boleh menegangkan hubungan antara kedau-dua negara.
Katanya, ketika para pegawai bekerjasama rapat untuk menyelesaikan isu berkenaan, para pemimpin perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
Ditanya sama ada terdapat sebarang rancangan untuk menemukan perdana menteri atau menteri luar kedua-dua negara bagi menyelesaikan salah faham itu, Sihasak berkata setakat ini tiada sebarang rancangan mengenainya dikemukakan dan Thailand bersikap terbuka mengenai cadangan itu.
Seorang disyaki
"Kami sedia menimbang sebarang cadangan atau syor bagi menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya.
Ditanya mengenai status 131 warga Thai terbabit, Sihasak berkata, Thailand sedang menunggu laporan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Orang Pelarian (UNHCR) mengenai perkara itu.
"Tiada tempoh masa ditetapkan. Berdasarkan kenyataan terbaru mereka, ia tidak akan keluarkan dalam tempoh terdekat ini. Mereka sedar ini isu sensitif," katanya.
Beliau berkata proses untuk mengenal pasti status 131 warga Thai berkenaan terhenti apabila Malaysia tidak membenarkan pihak berkuasa Thailand mengadakan temubual untuk kali kedua dan mengambil cap jari dan foto mereka.
Katanya, proses mengesahkan kerakyatan mereka dan mencari orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa kerana terlibat dalam keganasan di selatan Thailand perlu dilakukan.
Sihasak berkata, pihak berkuasa Thailand telah mengenal pasti seorang daripada mereka, Hamueyoh Sa-U, sebagai orang yang terlibat dalam serangan ke atas kem tentera pada 4 Januari tahun lalu yang mengakibatkan kehilangan lebih 400 senjata dan mengorbankan empat anggota tentera.

