Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Riduan Mohd Nor berkata usaha menangani berita palsu perlu dimulakan di media arus perdana.

Beliau mendakwa media arus perdana sering menjadi saluran pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.

"Kesannya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, media arus perdana selalu dihadapkan ke mahkamah dan selalu pula kalah.

"Media utama menjadi penanda aras apakah kempen atau segala akta dan undang-undang berkenaan fitnah itu berkesan atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily.

Selain itu Riduan berkata usaha menangani berita palsu juga perlu dijalankan terhadap jentera propaganda, pasukan media mana-mana jabatan serta tentera siber yang dibayar untuk menyebarkan perkara itu.

Beliau mengulas cadangan penggubalan akta berita palsu yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi kali ini.

Ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Sidang Parlimen ke-13 pada 5 Mac lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah menyokong terhadap undang-undang itu.

Ridhuan turut menyokong usaha itu dan berkata sekarang adalah masa yang sesuai untuk melakukannya memandangkan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang bakal menjelang.

"Tujuannya agar semua parti berpolitik secara matang dan benar, gunakan hujah rasional, maklumat sahih dan fakta yang berpijak di bumi nyata.

"Mereka yang membakar api fitnah, menyebarkan dakyat dan berita palsu mesti diheret ke muka pengadilan tanpa mengira siapa pelakunnya," katanya lagi.

Cadangan mewujudkan undang-undang khas itu dikritik sesetengah pihak terutama pembangkang kerana bimbang ia akan digunakan untuk menutup berita yang tidak berpihak kepada kerajaan.

Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman mengumumkan kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Pada masa ini undang-undang untuk membanteras kandungan berita palsu dan fitnah antaranya melibatkan Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.