Buku mengenai Jho Low, 1MDB oleh wartawan WSJ di pasaran Sept ini
Buku mengenai usahawan kontroversi Jho Low dan isu MDB - "Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World" - oleh dua wartawan Wall Street Journal (WSJ) akan berada di pasaran mulai September ini.
Menurut nota penerbit di laman Amazon.com, buku itu menjanjikan "kisah sebenar mengenai keangkuhan dan ketamakan".
"(Buku ini) mendedahkan bagaimana seorang individu mencipta salah satu krisis kewangan terbesar dalam sejarah - tepat di bawah industri kewangan global - mendedahkan pautan rahsia mereka yang kaya, elit, perbankan, Hollywood, dan politik,” petik nota itu.
Penulis buku Bradley Hope dan Tom Wright berada di barisan hadapan WSJ dalam melaporkan beberapa siri artikel mengenai saga 1MDB saga. Ia bermula dengan laporan bagaimana siasatan Malaysia mendapati hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Susulan ini, 1MDB menjadi subjek siasatan oleh beberapa pihak berkuasa di seluruh dunia, dengan tindakan mahkamah diambil di Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia masih belum membuat sebarang dakwaan mengenai kemelut 1MDB, kecuali menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana mendedahkan beberapa mukasurat laporan ketua audit negara mengenai firma itu yang diklasifikasikan sebagai rahsia.

