Polis Indonesia telah menyelesaikan siasatan mereka terhadap Equanimity yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low seminggu selepas kapal layar mewah itu dirampas di Benoa, Bali.

Daniel Silitonga, timbalan pengarah siasatan jenayah ekonomi dan jenayah khas republik itu memberitahu Malaysiakini bahawa pasukan petugas Indonesia telah selesai berbincang dengan pasukan pendakwa dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk menyelaras penyerahan kapal layar itu.

"Kami sedang menyiapkan butir-butir teknikal berkaitan dengan siasatan itu," kata Silitonga sambil menambah mereka menjangkakan proses itu akan selesai tidak lama lagi.

Antara lain, beliau berkata polis Indonesia masih memerlukan masa untuk mengesahkan data yang diperoleh dari Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal dan juga senarai kehadiran anak kapal itu.

Ini berkaitan dengan tuduhan bahawa kapten kapal layar itu dengan sengaja mematikan AIS untuk mengelakkan dikesan daripada Biro Penyiasatan Persekutuan AS.

Polis juga meneliti mengapa lima daripada 34 krew yang disenaraikan, tidak berada di kapal pada masa ia dirampas.

DOJ dalam saman pelucuthakan aset mendakwa bahawa kapal layar mewah itu dibeli oleh Jho Low dengan menggunakan wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Indonesia menegaskan bahawa peranan mereka hanya untuk mencari dan merampas kapal itu mengikut permintaan FBI yang dibuat pada 21 Februari.

"Adakah anda benar-benar tahu siapa pemilik kapal itu?" tanya Silitonga apabila ditanya Malaysiakini sama ada Indonesia akan menyerahkan kapal itu tanpa terlebih dahulu menghubungi pemiliknya.

"Pemiliknya telah dikesan oleh FBI sejak tiga tahun lalu," katanya. Kapal layar mewah itu dilaporkan dimiliki oleh sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

Kapten masih di atas kapal

Selain daripada bukti digital dan dokumen perjalanan dan pendaftaran yang dirampas, polis juga menyoalsiasat krew kapal dan kaptennya, Rolf Sieboldt-Berry, seorang warga Afrika Selatan.

Apabila dihubungi, peguam Sieboldt-Berry -  Rando Purba - mengesahkan bahawa pelanggannya hanya disoalsiasat sekali di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram Indonesia.

[Baca berita penuh]