Paling Popular
Terkini

PAS menganggap dapatan kaji selidik Invoke Malaysia (Invoke) mengenai nasib parti itu yang mungkin tidak akan menang satu kerusi pun pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti sekadar kajian "atas meja".

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menegaskan kajian tersebut juga dibuat tidak sampai ke peringkat akar umbi.

Menurut Abdul Hadi, PAS mempunyai kajian sendiri yang berpijak di bumi nyata dan pada masa sama mengambil maklum dapatan daripada kajian pihak lain.

"Kita ada kajian sendiri dan ambil kajian orang lain untuk buat perbandingan.

"Tetapi kajian PAS bertapak pada akar umbi (sedangkan) mereka tak ada, hanya atas meja, tak sampai ke lapangan," katanya kepada media di Tumpat, Kelantan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang hadir merasmikan Mesyuarat Agung PAS Tumpat.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan barisan kepimpinan kawasan.


Baca PAS yakin bentuk kerajaan di Perak


Malaysiakini semalam melaporkan kaji selidik Invoke melibatkan 2,000 responden dan dijalankan sehingga Februari lalu.

Daripada maklum balas diterima, ia membayangkan kemungkinan PAS gagal memenangi walau satu kerusi pun pada PRU ke-14 nanti.

Malah, dapatan itu juga menunjukkan PAS berisiko kehilangan kuasa memerintah Kelantan.

Sementara itu, Takiyuddin yakin kaji selidik Invoke itu bakal tersasar dan PAS tetap mampu mempertahankan Kelantan selepas mereka menguasainya sejak 1990.

Malah kata anggota parlimen Kota Bharu itu, banyak kaji selidik yang dijalankan badan diasaskan oleh Rafizi Ramli itu meleset.

"Saya nasihatkan beliau (Rafizi) kaji sama ada PKR mampu untuk pertahan Selangor atau tidak, sebab kita tengok kajian dibuat mereka sebelum ini banyak yang meleset, " katanya.

Lihat Komen
ADS