Paling Popular
Terkini

Janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri akan ditunaikan sebaik saja gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini janji bila kita menang nanti supaya seseorang pemimpin utama itu jangan melewati batas masa bagi memberikan ruang kepada pemimpin akan datang.

"Dengan cara ini, tidak akan tertumpunya kuasa kepada seorang itu begitu lama sehingga boleh berlaku kemungkinan penyalahgunaan kuasa," katanya kepada Malaysiakini ketika hadir di ceramah Jelajah HARAPAN di Bachok, Kelantan malam tadi.

Muhyiddin membidas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung manifesto pembangkang yang dilancarkan, Khamis lalu.

"Dia (Najib) tak faham, mungkin niat dia mahu nafikan malah mengatakan manifesto kita tak realistik dan kitar semula," katanya.

Terdahulu, Najib menyindir Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dikatakan sepatutnya sudah boleh meletakkan jawatan susulan manifesto berkenaan.

Ini kerana selain jawatan perdana menteri, manifesto itu juga mengkehendaki jawatan menteri besar dan ketua menteri dihadkan selama dua penggal.

"Saya ucapkan selamat bersara kepada saudara Lim Guan Eng," kata Najib secara sinis dalam catatan di laman blognya, najibrazak.com, semalam.

Kita ada pengalaman jadi kerajaan

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri yakin HARAPAN akan dapat menunaikan janji yang dibuat sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

"Kita yang merangka manifesto ini semuanya mempunyai pengalaman, kita dah tahu keadaan semasa berada dalam kerajaan, mana yang boleh buat, macam mana kita nak buat.

"Sebab itu jangan memperkecilkan dan memperlekehkan. Tapi dia (Najib) sengaja buat begitu supaya rakyat tidak terpengaruh dan sebab itu dia menidakkan keupayaan kita untuk melaksanakan apa yang kita sebutkan dalam manifesto," jelasnya.

Tambah anggota Parlimen Pagoh itu, apa yang penting HARAPAN komited antaranya untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Kita tulis secara detail setiap perkara, antara lain kita nak hapuskan GST. Dia tak setuju itu soal dia, itu hak dia tetapi parti kita komited.

"Pasal kita tahu GST ini membawa bebanan yang besar kepada rakyat.

"Sebab itu kita nak hapuskan dan ada cara lain untuk menyelesaikan. Bukan cara itu saja untuk mencari sumber wang," tegas Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS