Berikutan tuduhan berat sebelah, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempunyai alasan untuk memberikan kelulusan kepada Umno menangguhkan pemilihan majlis tertinggi parti itu.

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ROS membenarkan Umno menangguhkan pemilihannya sehingga 2019, namun permohonan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mendaftarkan gabungan itu masih tiada jawapan walaupun telah dikemukakan sejak lapan bulan lalu.

Bagaimanapun tidak jelas bilakah Umno memohon penangguhan pemilihannya.

Mengulas mengenai kenyataan Mahathir, Tengku Adnan berkata, "Suruh dia jaga parti dia sendirilah. ROS mesti ada sebab. Negara ini ada undang-undang; ikutlah undang-undang.

"Kamu ada ahli parlimen di parlimen untuk bercakap tentang undang-undang. Tapi bila kamu di luar, kamu tak kisah tentang undang-undang dan arahan. Kenapa kamu buat begitu?" soalnya.

Tengku Adnan bercakap kepada wartawan selepas melawat kawasan parkir bertingkat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong dan pasar basah berhampiran.

Selain mendakwa ROS memberikan layanan istimewa kepada Umno, Mahathir juga mendakwa parti itu tidak menghiraukan prosedur ketika memohon menangguhkan pemilihannya.

Mahathir, yang juga merupakan presiden Umno selama lebih dua dekad sehingga 2003, berkata keputusan penting itu perlu dibuat pada mesyuarat agung tahunan atau luar biasanya.

"Tetapi, kita tak dengar ada keputusan ini dibuat dalam mana-mana mesyuarat Umno," kata pengerusi Pakatan Harapan itu.

Pembangkang menegaskan Umno secara automatik perlu dibatalkan pendaftaran pada 28 Feb, selepas lanjutan tempoh pemilihannya berakhir.

Sebaliknya, ROS memberitahu BERSATU Jumaat lalu untuk menyerahkan minit mesyuarat dan dokumen kewangan semua cawangan dan bahagiannya dalam masa 30 hari atau menghadapi pembatalan pendaftaran.