Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak serius untuk mengambil alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) yang menjadi penyebab utama krisis air di negeri itu, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata proses pengambilalihan berkenaan sepatutnya sudah lama berlaku namun gagal dilaksanakan Azmin.

Sebaliknya, Abdul Khalid berkata Azmin lebih memberi tumpuan untuk membayar RM2.7 bilion kepada syarikat berkenaan dan bukannya menyelesaikan isu air di negeri itu.

"Ia adalah satu kecuaian yang jelas di pihak kerajaan negeri. Kecuaian ini memberi peluang kepada pemegang saham SPLASH untuk mengaut lebih untung sehingga mereka menjadi berani sebegini.

"Seorang menteri besar sepatutnya berjuang untuk rakyat tetapi pergerakan mungkin terhad kerana terlalu kenyang hingga termuntah," katanya menerusi satu status yang dimuatnaik di Facebook miliknya.

Baru-baru ini sejumlah 427 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Mac lalu.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), gangguan berpunca daripada kerja pembaikan terhadap Sistem Mampatan Udara yang pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3.

Azmin yang dipetik Sinar Harian berkata kegagalan mengatasi masalah tersebut disebabkan loji rawatan air tersebut bukan milik kerajaan negeri dan dimiliki SPLASH.

Kata Azmin, oleh kerana itu kerja-kerja pemulihan sukar dijalankan dengan segera.

"Semua kerja menyelenggara mesti dilakukan oleh SPLASH dan oleh kerana kita masih dalam proses mengambil alih SPLASH dan ia masih berjalan sehingga Julai ini kami tak boleh masuk untuk menyelenggaranya," kata Azmin.

Sementara itu, Abdul Khalid turut mengulas kenyataan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dalam sebuah portal berita, yang menyalahkan SPLASH dalam isu gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih 500,000 kediaman di lima kawasan di Lembah Klang.

Khalid mengingatkan Hannah bahawa beliau pernah meminta DUN membawa isu air dan pengambilan SPLASH ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Bagaimanapun katanya, usulnya itu ditolak mentah-mentah oleh Hannah.