Seorang penasihat Perdana Menteri Thailand, Wan Mohammad Noor Matha, dijangka mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Oktober, di Terengganu bagi membincangkan isu 131 warga Thai beragama Islam yang melarikan diri ke Kelantan bulan lalu.

Akhbar The Nation hari ini melaporkan bahawa bekas menteri dalam negeri Thailand itu dijemput oleh para pemimpin Terengganu untuk bertemu Abdullah pada satu majlis berbuka puasa.

"Semoga pertemuan ini dapat membantu meredakan konflik yang berpunca daripada isu berkenaan," kata pembantu Wan Mohamad, Suthiphan Sririkanon, yang dipetik oleh akhbar itu.

Kumpulan warga Thai itu dipercayai melarikan diri ke Kelantan bagi mencari perlindungan berikutan keganasan yang melanda tiga wilayah di selatan negara ini Yala. Pattani dan Narathiwat.

Jumaat lalu, Kementerian Luar Thailand memanggil Duta Malaysia ke negara ini, Datuk Shaarani Ibrahim, untuk diberi nota bantahan berhubung kenyataan Menteri Luar Malaysia Datuk Syed Hamid Albar bahawa Malaysia akan hanya membenarkan pelarian terbabit pulang ke negara asal mereka jika Bangkok dapat memberi jaminan hak asasi mereka tidak dicabuli.

Cari penyelesaian

Sementara itu, bekas perdana menteri Thailand Anand Panyarachun yang memainkan peranan penting dalam mencari penyelesaian terhadap masalah di selatan negara ini berkata, para pemimpin Malaysia memberi jaminan kepada beliau bahawa Kuala Lumpur tidak pernah menyokong sebarang gerakan pemisah atau puak penentang di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam itu.

Menurut laporan Bernama , Anand, yang juga pengerusi Suruhanjaya Perdamaian Nasional, berkata, beliau telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Abdullah dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berkunjung ke Malaysia minggu lalu.

Beliau memberitahu media Thai, bahawa beliau telah mengadakan perbincangan secara berterus terang dan terbuka tentang keganasan di Selatan dan telah diberi jaminan bahawa Malaysia tidak pernah menyokong puak penentang atau Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (yang sudah

berkubur).

Anand berkata, isu pemisahan wilayah tidak timbul kerana tiada pertubuhan antarabangsa yang akan mengiktiraf autonomi Yala, Pattani dan Narathiwat.

Beliau juga berkata, para pegawai Malaysia memberitahu beliau bahawa walaupun keganasan di wilayah selatan negara ini menimbulkan perselisihan pendapat antara kedua-dua negara, tetapi Malaysia dan Thailand perlu meneruskan perbincangan bagi mencari penyelesaiannya.