Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PAS gagal beri tawaran realistik atasi masalah rakyat’

ULASAN l Setelah perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih dua tahun, harga barang melonjak naik begitu tinggi hingga membebankan rakyat.

Namun, kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa tawaran Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST sebagai tidak realistik hanya mencerminkan hala tuju PAS sekarang yang menyokong dasar regresif dan zalim pemerintahan Umno dan BN.

PAS gagal memberikan tawaran yang realistik bagi mengatasi bebanan rakyat akibat GST.

Ironinya, pada masa sama PAS tidak pula mendakwa hasrat kerajaan untuk menutup 1MDB selepas pinjaman firma itu selesai dibayar tidak realistik, walaupun menyedari bahawa hutang 1MDB ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

Terbaru, kerajaan dilaporkan terpaksa berhutang RM2 bilion lagi untuk membeli semula projek Exchange 106 di TRX daripada Mulia Group. Bukankah penutupan 1MDB selepas langkah-langkah rasionalisasi 1MDB melibatkan wang rakyat?

Di samping itu, 1MDB bukan sahaja melibatkan bebanan hutang puluhan bilion ringgit, tetapi juga ia adalah isu skandal penyelewengan wang negara hampir RM20 bilion yang kini menjadi subjek siasatan di seluruh dunia termasuk oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Bukankah penutupan 1MDB tanpa penjenayah-penjenayah yang menyeleweng wang 1MDB didakwa merupakan satu langkah menyelamatkan mereka daripada gerigi besi Sungai Buluh?

Sikap membisu PAS dalam isu 1MDB menunjukkan ketidakprihatinan mereka terhadap masalah bebanan hidup rakyat kerana skandal mega ini memberikan kesan kepada nilai mata wang negara yang menyebabkan kenaikan harga barang dan kesusutan hasil negara.

Akibatnya, kerajaan terpaksa mengenakan GST bagi menampung kekeringan kantung negara disebabkan oleh ketirisan wang negara akibat skandal-skandal penyelewengan terutama 1MDB.

Sikap PAS yang mempertahankan GST dan skandal 1MDB adalah petanda jelas bahawa PAS tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.


FAIZ FADZIL adalah timbalan ketua pemuda AMANAH.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS