Ridhuan Tee saran pemimpin MCA celup bulu, rambut jadi merah
Pensyarah kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Ridhuan Tee Abdullah membidas pemimpin MCA yang didakwanya memperbesar-besarkan isu remeh temeh seperti warna pakaian yang perlu dipakai ke majlis-majlis tertentu.
Merujuk kepada pergeseran di antara parti itu dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz, yang berpakaian hitam semasa menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina, katanya semua pihak, tidak harus bersikap hiprokrit.
“Sejak bila pula ada undang-undang menetapkan kena pakai baju warna apa ketika menghadiri sesuatu majlis?
“Jika begitu keadaannya, kenapa tidak kenakan syarat kepada semua yang menghadiri majlis tersebut supaya menukar warna rambut kepada warna selain daripada warna hitam, yang dikaitkan membawa nasib malang,” katanya yang dipetik oleh portal Ismaweb.
Secara sinis, katanya, walaupun warna hitam sinonim dengan kesedihan dalam budaya Cina, namun ia tidak demikian mengikut budaya lain.
Menurut pensyarah kontroversial itu, mengikut Islam, warna adalah warna dan ia kurniaan Allah serta tidak timbul soal hitam itu melambangkan kesedihan.
“Kenapa pemimpin MCA tidak tukar warna rambut dan segala bulu yang tumbuh di badan kepada warna merah sempena perayaan tahun tersebut jika hitam dikaitkan dengan nasib malang? Rasional sedikit. Nak kata bodoh marah pula.
“Apakah orang berkulit hitam perlu mengecat kulitnya menjadi putih semata-mata untuk hadir (majlis) Tahun Baru Cina. Kadang kala hitam itu menawan. Persoalannya, sejauh mana kita menghargai erti warna,” katanya.
Ridhuan seterusnya mempersoalkan apa guna berpakaian merah atau hitam jika hati seseorang itu penuh dengan kepura-puraan.
Pada 4 Mac lalu, Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Chiong dilaporkan tersinggung dengan tindakan Nazri yang selaku menteri pelancongan dan kebudayaan berpakaian hitam pada perayaan Tahun Baru Cina di Sungai Petani.
Pada sidang akhbar selepas perayaan berkenaan, Tan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat Nazri kerana "tiada sensitiviti budaya".
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata tidak semua yang faham budaya Cina dan sekalipun jika memahaminya, adalah hak mereka untuk tidak mengikut budaya berkenaan.
“Kita tidak boleh buat apa-apa sebab itu hak dia, bukan hak kita.
"Ramai pemimpin MCA memakai skirt pendek menghadiri majlis keramaian dan majlis kematian orang Melayu, kita tidak kisah pun.
“Sebab kita faham, kamu bukan Islam dan mungkin kerana kejahilan. Kenapa perlu membuang masa dengan isu remeh temeh ini?” soalnya lagi.

