Gabungan 30 persatuan penduduk hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam usaha mereka menyelamatkan Kuala Lumpur daripada pembangunan melampau.

Memorandum diserahkan wakil persatuan diketuai Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman kepada wakil Pejabat Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Abdul Aziz berkata pihaknya sudah tiada pilihan selain membawa isu tersebut ke perhatian perdana menteri terutama selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih enggan mewartakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

"Kami terdesak untuk membawa perkara yang amat penting ini ke peringkat yang lebih tinggi, bukan untuk sesiapa tetapi untuk Kuala Lumpur dan rakyat sendiri.

"Masa depan bandar raya Kuala Lumpur perlu ditentukan oleh DBKL serta penduduknya untuk memastikan ia holistik dan bersemangat.

"Inilah usaha kami untuk mendapatkan semua anggota parlimen di Kuala Lumpur bekerjasama mendesak apa yang diperuntukkan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum.

Beliau mendakwa Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang menggariskan soal penggunaan tanah untuk pembangunan di ibu kota tidak diwartakan sejak ia dibentang sepuluh tahun lalu.

Beliau berkata ia sepatutnya diwartakan bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

"Kuala Lumpur adalah ibu negara dan dikenali ramai maka sangat memalukan apabila ia tiada pelan. Ini penghinaan kepada kita semua, kami bertindak agar pihak berkuasa sedar akan perkara ini," katanya yang pernah menjadi pegawai kanan kerajaan dan ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines (MAS).

Pada 22 Februari lalu, SKL mengadakan pertemuan dengan Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd.

Selepas pertemuan itu, Abdul Aziz berkata SKL menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap DBKL jika terus tidak mewartakan pelan tersebut, menurut laporan The Star Online.

Manifesto Kuala Lumpur

Selain memorandum, SKL turut menghantar manifesto mereka yang menggariskan empat perkara yang dapat menjamin pembangunan mapan di Kuala Lumpur.

Empat perkara tersebut adalah pendemokrasian majlis perbandaran, penglibatan komuniti yang berkesan, perlindungan kawasan hijau ran ruang awam serta pewartaan dan penguatkuasaan pelan tempatan.

"Ini adalah untuk generasi hari ini dan akan datang," kata Abdul Aziz.

Memorandum ini diserahkan sebulan selepas SKL menggesa anggota parlimen di Kuala Lumpur agar sedar kepentingan melindungi ibu negara daripada pembangunan berlebihan.

Mereka juga telah berjumpa dengan anggota parlimen Kuala Lumpur dari HARAPAN bagi menyerahkan manifesto itu pada 7 Mac lalu.