Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak peduli pada kritikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap manifesto pembangkang.
Katanya, penerimaan rakyat terhadap janji-janji mereka lebih penting berbanding kenyataan bekas gandingannya dalam kerajaan itu.
"Respon masyarakat umum dari pelbagai peringkat sangat luar biasa. Saya lebih pandang itu dari (kenyataan) Najib.
"Saya tak iktiraf dia sebagai perdana menteri pun. Dia boleh komen apa-apa, madu beracun ke, kitar semula ke, tak logik ke.
"Tapi dia tak boleh pandang rendah pada kami pembangkang, nak kata kami tak cukup akal, bodoh, tak ada cendekiawan, pakar yang boleh analisis ekonomi.
"Jangan perkecilkan. Yang penting bagi saya, rakyat umum semua peringkat bangsa, agama lihat ia sebagai satu tawaran yang tak boleh ditolak.
"Yang penting penerimaan rakyat. Kalau belah sana nak kata macam-macam, ia lumrah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat BERSATU di Putrajaya hari ini.
Sabtu lalu, ketika kawasan parlimen Muhyiddin di Pagoh, Najib menyifatkan janji-janji pembangkang sekadar “madu beracun”.
Najib mendakwa pembangkang gagal menunaikan janji kepada rakyat termasuk menyelesaikan krisis air di Selangor.