Lebih ramai pemimpin BN akan diberi 'dua kerusi'
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Dr Mah Hang Soon masing-masing bakal akan dilantik sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Laporan The Star hari ini berkata Zambry dijangka bertanding di kerusi parlimen Lumut, sambil mempertahankan kerusi DUN Pangkor.
Mah pula akan diturunkan di parlimen Tanjong Malim, sambil mempertahankan kerusi DUN Chenderiang.
Bertanding kedua-dua kerusi negeri dan parlimen serentak bukan amalan biasa buat BN di Semenanjung Malaysia, walaupun ia sesuatu yang lumrah untuk gabungan itu di Sabah dan Sarawak.
Pada pilihan raya umum lalu, hanya Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berbuat demikian di Semenanjung.
Laporan itu juga memetik pensyarah Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian sebagai berkata, tindakan sedemikian akan meluaskan pilihan calon-calon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Mungkin dia mahu menggunakan populariti mereka untuk memenangi kerusi parlimen juga, dan bukan kerana kekurangan pemimpin berpotensi," katanya.
Amalan bertanding "dua kerusi" ini lebih kerap dilakukan di kalangan calon pembangkang, terutamanya DAP.
Antara calon "dua kerusi" itu adalah Lim Guan Eng (kerusi Parlimen Bagan, kerusi Dewan Undangan Negeri Air Putih), Nga Kor Ming (Taiping dan Kepayang) dan Ngeh Koo Ham (Beruas dan Sitiawan).
Bagi PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah ahli parlimen Permatang Pauh dan ADUN Kajang manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah ahli parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah ahli parlimen Marang dan ADUN Ru Rendang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.