Sebanyak 30 peratus atau 44,200 daripada kira-kira 148,000 surat sehari yang diproses Pos Malaysia di Kelantan tidak sampai kepada penerima atau lewat diserahkan disebabkan alamat yang tidak tepat.

Pengurus Besar Pos Malaysia Kelantan, Abdul Rahman Kadir, berkata perkara itu berlaku kerana surat-surat yang dialamatkan terlalu umum dan sukar bagi kakitangan pos mencari pihak penerima.

"Sebilangan surat yang diposkan itu tersadai di kedai-kedai wakil pos yang dilantik di merata-rata kampung," katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Pos Sedunia peringkat negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merbau di Pasir Puteh semalam.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Che Min Che Ahmad merasmikan upacara sambutan itu yang diserikan dengan majlis penyampaian Plat Alamat Rumah kepada 235 penduduk Kampung Bukit Merbau dan Kampung Pupuh di Selising.

Menurut laporan Bernama , dua buah kampung itu dipilih sebagai perintis projek Plat Alamat Rumah di Kelantan sebelum ia diperluaskan ke seluruh negeri tahun depan.

Plat nombor

Abdul Rahman berkata, keadaan itu lebih menyulitkan lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri bulan depan apabila pihaknya terpaksa memproses surat biasa dan kad Selamat Hari Raya yang bertambah dua kali ganda daripada yang ada sekarang.

Beliau berkata, masalah itu dijangka akan dapat diselesaikan apabila semua rumah di Kelantan menerima alamat baru dengan menggunakan plat nombor yang akan dipaparkan di dinding rumah masing-masing.

Katanya, menerusi alamat baru itu, kesemua surat yang diposkan itu, dijamin selamat dan akan sampai lebih cepat kerana kakitangan pos senang mencarinya berpandukan kepada plat nombor rumah.

Abdul Rahman berkata, ini termasuk sekiranya nama penerima tidak ditulis dengan tepat dan betul atau meragukan.