Seramai 50 anggota pasukan mencari dan menyelamat Malaysia dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan, akan berlepas ke Pakistan hari ini bagi membantu gerakan mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi yang mengorbankan 30,000 nyawa dan mencederakan lebih 41,000 orang.

Menurut kenyataan akhbar Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, pasukan tersebut yang akan berada di kawasan operasi selama dua minggu, akan berlepas dengan dua pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka berada di pangkalan udara itu tengah hari ini untuk menghantar pasukan berkenaan.

Komposisi pasukan tersebut terdiri daripada tiga pegawai Bahagian Keselamatan Negara, 25 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART), enam pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur, lima pegawai perubatan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), tujuh anggota Mercy Malaysia dan empat anggota daripada media tempatan.

Menurut Bernama, kenyataan itu juga menyebut, kerajaan juga bersetuju untuk menyumbang AS$1 juta kepada kerajaan Pakistan bagi membantu mangsa gempa bumi itu.

"Kerajaan India dan Afghanistan juga telah dimaklumkan mengenai kesediaan Malaysia untuk memberi sumbangan atas asas-asas perikemanusiaan kepada mangsa di negara berkenaan," kata kenyataan itu.

Gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang berpusat di pergunungan Kashmir itu, turut mengorbankan kira-kira 600 orang di India dan empat di Afghanistan serta meranapkan berpuluh-puluh kampung.

Pohon bantuan

Sementara itu, Mercy Malaysia bersiap sedia untuk mengerahkan Pasukan Bantuan Perubatan Kecemasan dan Penilaian dan Logistik Kecepatannya ke Pakistan bagi membantu mangsa gempa bumi di negara itu.

Naib Presiden Mercy Malaysia, Dr Mohamed Ikram Mohamed Saleh berkata, mereka kini sedang membuat persiapan mengenai pengerahan itu dalam masa sehari dua hari lagi dan bekalan perubatan dan keperluan misi ini sudahpun diadakan.

"Oleh itu, Mercy Malaysia menyeru orang ramai memberikan sokongan dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai atau cek untuk pasukan bantuan itu ke kawasan yang terbabit.

"Penghantaran bantuan dalam bentuk barangan ke wilayah itu bukankanlah kos-efektif kerana masalah logistik. Cara yang terbaik untuk orang ramai menderma ialah dengan wang tunai, di mana kita boleh menukarkanya dengan ubat-ubatan dan barangan yang perlukan," kata beliau dalam kenyataan semalam.

Sumbangan cek boleh dibuat atas nama Tabung Kemanusiaan Mercy dan sumbanagn itu boleh dihantar terus ke akaun Mercy Malaysia, Maybank, No. Akaun 5621 7950 4126. Semua sumbangan kepada tabung ini dikecualikan daripada cukai.