Keputusan mengenai kedudukan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai Menteri Wilayah Persekutuan adalah bergantung kepada budibicara Perdana Menteri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (foto) akan menentukan semua perkara berkaitan kedudukan Isa dan ia adalah dalam makluman Perdana Menteri.

"Soal kedudukan (Isa) sebagai anggota kabinet adalah keputusan Perdana Menteri, apa-apa kedudukan bersabit (jawatan) menteri akan diputuskan Perdana Menteri," kata Timbalan Perdana Menteri itu, kepada pemberita di Pekan selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada surau dan masjid kawasan parlimen Pekan.

Menurut Bernama, Najib yang Timbalan Presiden Umno berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Isa semalam bahawa beliau akan meletak jawatan apabila kerja-kerjanya di kementerian itu selesai.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak rayuan Isa, tetapi menggurangkan tempoh penggantungan keahliannya, daripada enam tahun (yang ditetapkan Lembaga Disiplin Jun lepas) kepada tiga tahun dan beliau perlu melepaskan jawatan dalam kabinet.

Isa dikenakan hukuman tersebut selepas jawatankuasa disiplin mendapati beliau terbabit dalam politik wang ketika memenangi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu tahun lalu.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu kemudiannya memberitahu media bahawa beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan berikutan keputusan itu.