Hampir 20,000 terbunuh, mangsa terselamat masih tunggu bantuan
Beratus ribu mangsa yang terselamat dalam gerak gempa di kawasan pergunungan di timur laut Pakistan kini masih menunggu bantuan selepas bermalam dalam cuaca yang amat sejuk, manakala jumlah kematian yang disahkan hampir mencecah 20,000.
Beratus ribu mangsa yang terselamat dalam gerak gempa di kawasan pergunungan di timur laut Pakistan kini masih menunggu bantuan selepas bermalam dalam cuaca yang amat sejuk, manakala jumlah kematian yang disahkan hampir mencecah 20,000.
Di perkampungan dan bandar yang paling teruk dilanda bencana tersebut, orang ramai bertungkus lumus menggali runtuhan menggunakan tangan untuk mencari saudara mara atau sahabat handai yang mungkin masih selamat dan terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih banyak helikopter diperlukan segera untuk membawa peralatan penyelamat dan bantuan perubatan ke perkampungan di kawasan tinggi pergunungan Himalaya, selepas jalan bukit ditimbus batu selepas berlaku gerak gempa berukuran 7.6 di skala Richter itu.
"Kita sedang menyaksikan satu kemusnahan yang tidak dapat dibayangkan," kata Penyelaras bantuan kecemasan dan kemanusiaan PBB, Jan Egeland kepada AFP.
"Kita bercakap mengenai berjuta-juta yang terbabit dalam bencana ini," katanya.
Menurutnya, Pakistan telah mengunakan helikopter untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat, tetapi gerakan tersebut memerlukan kelengkapan lebih besar daripada itu.
Bantuan Chinooks
Amerika Syarikat pula telah menawarkan lapan helikopter tenteranya untuk digunakan dalam gerakan tersebut kebanyakannya pesawat Chinooks dua kipas, yang berpangkalan di Afghanistan dan dua pesawat C130 tenteranya untuk mengangkut khemah, selimut dan lain-lain bekalan.
Ketika pasukan penyelamat antarabangsa dengan peralatan khas dan anjing pengesan tiba di Pakistan, pihak berkuasa negara itu berkata, lebih 19,100 orang disahkan terbunuh dan lebih 42,000 lagi cedera.
Tetapi jurucakap tentera Pakistan, Mej-Jen Shaukat Sultan berkata, jumlah kematian akan terus meningkat dan seorang pegawai kerajaan Pakistan di Kashmir berkata, jumlahnya mungkin mencecah 30,000.
Para pegawai Pakistan berkata, lebih 11,000 telah disahkan terbunuh di bandar Muzaffarabad ibu negeri Kashmir yang dikuasai negara itu.
"Muzaffarabad musnah sama sekali" kata Menteri Kerjaraya dan Komunikasi wilayah tersebut, Tariq Farooq.
Gerak gempa itu berlaku pagi Sabtu lalu ketika sesi persekolahan baru bermula. Berikutan itu, beratus-ratus kanak-kanak sekolah dikhuatiri terbunuh apabila bangunan sekolah runtuh dalam kejadian tersebut.
Para pegawai berkata, hospital-hospital di Muzaffarabad turut terbabit dan tentera Pakistan telah menerbangkan pasukan doktor dan jurubedah ke bandar tersebut untuk membantu mangsa di khemah rawatan sementara.
Perlu bantuan air, makanan
"Bukan kerja-kerja menyelamat sahaja yang terjejas, tetapi juga usaha-usaha membantu mangsa yang terselamat. Kita memerlukan khemah perubatan, bekalan air, dan makanan," kata Ketua Pasukan Penyelaras dan Penilaian Bencana PBB (UNDAC), Gerhard Putman-Cramer, kepada AFP di Islamabad.
Gerak gempa itu turut melanda kawasan Kashmir yang dikuasai India di mana para pegawai berkata lebih 600 orang disahkan terbunuh.
Menurut mereka, jumlah itu belum mengambil kira banyak lagi perkampungan terpencil yang terbabit, tetapi belum lagi diketahui nasib penduduknya.
Pusat gerak gempa itu berlaku berhampiran sempadan Kashmir yang dikuasai oleh India dan Pakistan, mengakibatkan ramai anggota tentera kedua belah pihak, yang turut terkorban apabila binaan kubu-kubu mereka, runtuh ketika gegaran tersebut.
Tawaran bantuan dan pertolongan datang mencurah-curah dari seluruh dunia. Bank Dunia menawarkan AS20 juta manakala Bank Pembangunan Islam pula menawarkan bantuan segera AS10 juta kepada Pakistan.
Jepun pula telah menghantar pasukan penyelamat seramai 50 anggota, manakala Britain berkata, negara itu menghantar bantuan awal berjumlah AS176,000 serta pasukan penyelamat seramai 60 anggota.
Manakala Australia pula berjanji untuk menghulurkan bantuan berjumlah AS4.18 juta.
AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.