Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata, pihaknya masih belum menerima laporan daripada penilai bebas yang dilantik kerajaan persekutuan berhubung proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Azmin berkata, perkara itu telah dibawa ke Parlimen pada sesi sebelum ini namun sebarang maklumat masih belum diterima kerajaan negeri.

Justeru, kata Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR, pihak kerajaan negeri memerlukan laporan daripada penilai berkenaan sebelum sebarang nilai dikemukakan.

"Jangan salah-menyalah mana-mana pihak. Saya nak selesaikan masalah ini secepat mungkin. Tapi kerajaan persekutuan dan negeri perlu bekerja bersama.

"Kita dah serah laporan kita tapi mereka (Putrajaya) belum serah laporan mereka (kepada kerajaan negeri).

"Selepas laporan diserahkan kepada kerajaan negeri, maka kita boleh duduk berbincang apakah nilai yang terbaik kita boleh tawarkan kepada Splash," katanya ketika ditemui pemberita di Kajang hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau yang mahu membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat konsesi air Splash jika Azmin menetapkan harga belian.

Ini kerana, kata Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Azmin tidak mempunyai tulang belakang untuk berbuat demikian.

Azmin turut memberitahu beliau tidak boleh mendedahkan nilai yang akan ditetapkan kerajaan negeri untuk proses pengambilalihan Splash.

"Saya tidak akan dedahkan (nilai) sebab masih dalam rundingan antara negeri dan persekutuan," kata Azmin.

Tahun lalu, proses pengambilalihan Splash ditangguhkan buat kali ketiga hingga 4 Julai depan.

Menurut laporan, penangguhan itu dibuat menerusi dua surat yang dihantar Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kepada kerajaan negeri.

Penangguhan itu dibuat selepas kerajaan negeri gagal mendapatkan sebutan harga bagi proses pengambilalihan dari kerajaan pusat.