Anggota baru Parti Pribumi bersatu (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan meminta Datuk Bung Moktar Radin agar tidak terlalu memikirkan soal seks, sebaliknya memperjuangkan hak rakyat Sabah.

Ini berikutan surat terbuka anggota Parlimen Kinabatangan itu yang mengatakan penyakit dihadapi rakyat Malaysia ketika ini seperti diabetes dan darah tinggi tidak boleh berjangkit walaupun menerusi "hubungan seks tidak selamat".

Mengulas mengenai surat yang ditujukan kepadanya, Wan Saiful berkata beliau tidak  faham mengapa Bung perlu menyebut mengenai perkara itu ketika beliau bercakap mengenai keperluan golongan intelek dalam perdebatan dasar awam.

"YB Bung Moktar mendakwa beliau disukai oleh para penyokongnya.

"Saya mungkin kurang pengalaman mengenai seks tak selamat berbanding dirinya, tetapi saya mencadangkan agar dia mengembalikan kasihnya dengan memperjuangkan hak rakyat Sabah dan bukannya berfikir mengenai hubungan seks tak selamat," kata timbalan pengerusi strategi dan dasar BERSATU itu dalam satu kenyataan.

Wan Saiful juga menggesa Bung mengambil pengajaran daripada manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru dilancarkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata Buku HARAPAN mempunyai sembilan janji khusus mengenai bagaimana HARAPAN akan mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 jika ia membentuk kerajaan selepas PRU14.

"Pakatan Harapan tidak akan hanya melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 dengan cara Umno gagal melakukannya selama lima dekad, kita juga akan memangkin pertumbuhan ekonomi, mencipta pekerjaan baru, menjadikan Sabah sebagai contoh hubungan antara etnik, meningkatkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, memperjuangkan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, mempertahankan sempadan Sabah, mempertahankan hak adat tanah adat, dan banyak lagi.

"Ini adalah dasar yang diperlukan oleh Sabah. Lebih penting lagi, mereka juga memerlukan wakil rakyat mereka untuk memperjuangkan hak mereka dengan baik di Parlimen supaya Umno tidak lagi mengikis hak dan kekayaan mereka.

"Daripada bercakap tentang seks yang tidak selamat, apa kata jika kita bercakap soal dasar?" katanya.

Semalam, Bung menulis surat terbuka kepada Wan Saiful di mana antara lain, beliau mencabar anggota BERSATU itu bertanding menentangnya di Kinabatangan.

Veteran Umno itu mendakwa pengundi di kawasan beliau telah jatuh cinta kepadanya sejak Pilihan Raya Umum 1999.

Bung menjawab kritikan Wan Saiful terhadapnya kerana mengaitkan kegemukan rakyat Malaysia dengan kemakmuran negara.