Malaysiakini BERITA

Hanipa hanya ada RM900 dalam bank

Alyaa Azhar

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Hanipa Maidin mendedahkan beliau hanya memiliki RM900 dalam akaun banknya, ketika program pengisytiharan harta anjuran Invoke Malaysia semalam.

Anggota parlimen Sepang itu bagaimanapun memiliki dua hartanah dengan nilai keseluruhan RM1 juta di Sri Gombak, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau mendapat gaji RM25,000 sebulan sebagai anggota parlimen dan menerima elaun RM10,000 sebagai peguam.

Perbelanjaan bulanannya setakat 11 Mac lalu termasuk pinjaman perumahan, pinjaman kereta (Honda CRV), bil utiliti, wang perbelanjaan kepada isteri, kos operasi firma guaman, sumbangan kepada ibu bapa, sumbangan kepada rakyat dan juga parti dengan jumlah keseluruhan RM26,000.

Hanipa merupakan seorang daripada 36 ahli politik AMANAH dan PKR yang berpotensi menjadi calon pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mengisytiharkan hartanya dengan badan kaji selidik itu.

Sepanjang program, pengacara majlis berulang kali membuat jenaka tentang Hanipa yang hanya memperuntukkan RM1,000 sebulan kepada isterinya berbanding bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang memberi RM4,000 sebulan.

Pengacara juga membuat jenaka tentang Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil yang memiliki kereta Audi A4.

"Ia boleh difahami sebab dia peguam," selorohnya.

Faiz juga memiliki simpanan RM181,007 dalam Tabung Haji.

Mungkin rasa malu

Sementara itu, akuan berkanun Presiden AMANAH Mohamad Sabu menunjukkan beliau mempunyai wang tunai dan simpanan berjumlah RM105,600.

Selain itu, Mohamad memiliki empat hartanah dan sebidang tanah dengan nilai keseluruhan RM758,000 tetapi tiada kereta.

Bercakap dengan pemberita selepas program, pengasas Invoke Rafizi Ramli mengakui ramai yang keberatan untuk mengisytiharkan harta mereka atas pelbagai sebab.

"Saya tidak (kecewa dengan pemimpin HARAPAN yang tidak berbuat demikian) kerana ia memerlukan keberanian. Saya sendiri mengambil masa lama untuk meyakinkan 75 calon (yang telah mengisytiharkan harta).

"Mereka yang miskin mungkin rasa malu ada duit RM1,000 atau RM2,000 sahaja, manakala yang berduit takut orang datang dan minta duit daripada mereka.

"Saya kenal wakil rakyat yang pada mulanya ragu-ragu, bukan sebab rasuah tetapi ini soal peribadi mereka. Sebab itu saya ambil masa untuk meyakinkan bahawa pengisytiharan harta ini adalah untuk kebaikan mereka," katanya lagi.


Baca DAP: Isytihar harta lebih penting daripada ikrar


Rafizi dalam ucapannya sebelum itu berkata, langkah mengisytiharkan harta dengan Invoke tidak sama dengan pengisytiharan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM tuntut calon isytihar harta kepadanya, (tetapi) yang akan tahu hanya mereka dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dengan akuan berkanun, rakyat boleh membuat laporan polis jika ahli politik menipu dalam pengisytiharan mereka."

Antara yang berbuat demikian adalah Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad, bekas speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Setakat ini seramai 103 pemimpin HARAPAN telah mengisytiharkan harta dengan Invoke, termasuk mereka yang berbuat demikian pada November tahun lalu.

Sebagai pertukaran, mereka akan menerima dana kempen PRU daripada badan kaji selidik itu.

Rafizi juga berkata senarai dan dokumen pengisytiharan akan disiarkan di laman webnya esok.

[Baca berita asal]