Panel tujuh orang hakim Mahkamah Persekutuan akan mendengar cabaran yang dibawa oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) mengenai pelantikan kontroversi dua hakim tertinggi negara.

Badan Peguam dan AAS mencabar pelantikan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin selepas usia bersara wajib perlembagaan 66 tahun dan enam bulan.

Panel tujuh hakim itu akan diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Hakim Hasan memberitahu mahkamah bahawa panel itu telah dipilih oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma'arop.

Hakim lain dalam panel itu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khairuddin Othman Khairuddin.

Selain peguam untuk Badan Peguam yang diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenevasan, ada yang menjadi peguam pemerhati untuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persatuan Peguam Muslim diwakili oleh peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Ia menjadi pencelah, yang akan membolehkannya mengemukakan hujah.

Jabatam Peguam Negara diwakili oleh ketua bahagian sivilnya, Amarjeet Singh.

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan empat soalan perundangan yang dikemukakan oleh Badan Peguam dan AAS. Pada mulanya, lima soalan dikemukakan tetapi telah dikurangkan kepada empat.

[Baca berita penuh]