Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan masukkan semula k’jaan sebagai defenden

Mahkamah Rayuan hari ini menamakan semula kerajaan sebagai defendan dalam saman RM100 juta yang difailkan oleh Shaariibuu Setev dan cucunya atas kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh peguam Setev, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh, bahawa ada isu yang perlu dibicarakan.

Dua lagi hakim yang bersidang sama adalah Datuk Vernon Ong dan Datuk Ahmadi Asnawi.

Keputusan dibuat sebulat suara dan mahkamah juga membenarkan kos RM1,000 dibayar oleh kerajaan.

Dengan keputusan hari ini, defendan dalam saman itu kekal, iaitu bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar, Penganalisis Politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan.

Perbicaraan saman sivil itu dijangka bermula pada bulan Mei.

Pada bulan Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan kerajaan untuk mengketepikan saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarga Altantuya atas alasan ia tidak mendedahkan punca tindakan yang munasabah.

Saman itu difailkan pada 2007 oleh Setev dan dua anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di sebuah hutan terpencil di Puncak Alam, berhampiran Shah Alam. Azilah dan Sirul kemudiannya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.

Namun, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia sebelum keputusan itu. Dia kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa Australia dan masih berada di pusat tahanan Imigresen berdekatan Sydney.

Australia berkata mereka tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk mengekstradisi kecuali pihak berkuasa Malaysia menjamin bahawa bekas anggota polis itu tidak akan digantung hingga mati.

Lihat Komen
ADS