Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Buka buku baru, kata mufti kepada pelajar sekolah juvana
Diterbitkan:  Mar 14, 2018 1:04 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad menasihatkan pelajar Sekolah Henry Gurney di Melaka supaya melupakan masa silam mereka dan sebaliknya, mencipta kecemerlangan.

Mufti yang sering merapatkan dirinya dengan golongan terpinggir seperti pekerja seks, pengguna dadah dan bekas banduan, berkata demikian ketika melawat sekolah untuk pesalah juvana itu, semalam.

“Semalam selepas kunjungan mahabbah ke Jabatan Mufti Melaka, kami meneruskan jelajah ke Sekolah Henry Gurney.

“Sejujurnya, anak-anak pelajar di sini baik-baik semuanya. Alunan zikir yang menyambut ketibaan kami, amat menyejukkan hati dan menenangkan jiwa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Zulkifli berkata, soalan-soalan yang dikemukakan oleh pelajar lelaki dan perempuan itu semasa sesi perkongsian, melambangkan kesungguhan mereka untuk berubah dan menjadi insan yang berjaya di masa hadapan.

Katanya, kumpulannya itu meninggalkan pesanan berikut kepada mereka.

"Ustaz nak tengok satu hari nanti, masa tu mungkin ustaz dah bertongkat. Anak-anak tegur ustaz, genggam tangan ustaz.

“Anak-anak perkenalkan diri... Saya Dr, saya Datuk, saya usahawan berjaya, saya dah berjaya dalam hidup. Saya bekas pelajar Henry Gurney.

“Lupakan masa silam, buka buku baru dan cipta kecemerlangan. Jangan tinggal solat dan doa kepada-Nya,” tulisnya lagi.

Pada Jun tahun lalu, Zulkifli mengadakan lawatan ke Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia yang menempatkan pengguna dadah, pekerja seks, transgender dan bekas banduan.

Selain sesi tazkirah dan bertanyakan soalan, penghuni pusat itu juga bersolat jemaah bersama dengan berimamkan mufti berkenaan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS