Kira-kira 60 peratus soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam persidangan yang berakhir hari ini, tidak dijawab.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata, hanya 40 peratus daripada soalan yang diajukan itu, mendapat perhatian tetapi dijawab tanpa fakta yang cukup.

"Kita dapati ada masalah di peringkat pengurusan yang perlu diperbaiki menyebabkan soalan-soalan yang berkaitan dengan rakyat tidak mendapat perhatian yang serius," katanya kepada Bernama di Kota Bharu.

Annuar yang juga Ketua Pembangkang berkata, bagi soalan bertulis pula, pihaknya tidak mendapat jawapan yang lengkap, malah sebahagian jawapan itu sukar difahami kerana jawapan yang diberi adalah secara umum.

Beliau berkata, keadaan itu memalukan sekiranya perkara yang berkaitan dengan rakyat tidak diberi perhatian dan penjelasan yang tepat.

Tidak cukup masa

"Kita harap mereka memberi pandangan yang serius tentang teguran kita tentang urusan perjalanan dewan, itu memalukan," katanya.

Menurut Annuar, antara kesalahan yang dilakukan termasuk penyusunan jawapan bertulis tidak teratur, kesalahan penulisan dan perjalanan mesyuarat agak pincang.

Beliau berkata, setiap hari dianggarkan antara 20 dan 25 soalan bertulis perlu dijawab tetapi disebabkan masa yang tidak mencukupi hanya kira-kira 15 soalan saja dijawab.

"Ini mewajibkan kerajaan menjawab secara bertulis kepada anggota dewan soalan-soalan yang belum dijawab dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar beberapa kakitangan pakar dan profesional dalam bidang pengurusan dewan diambil berkhidmat bagi melicinkan lagi perjalanan dewan.