Samy Vellu nafi beli banglo dekat projek lebuhraya DUKE
Datuk Seri S. Samy Vellu menafikan beliau membeli sebuah banglo beralamat No.2 Jalan Sungkai off Jalan Ipoh, berdekatan dengan projek pembinaan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) yang akan dibina.
Menteri Kerja Raya itu menolak kenyataan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang mendakwa beliau telah membeli banglo itu yang hampir dengan DUKE yang dibangunkan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI).
Sebaliknya, Samy Vellu berkata, beliau membina sebuah rumah beralamat No.19 yang terletak kira-kira satu kilometer dari lebuhraya itu, dengan menggunakan pinjaman kerajaan dan mendiaminya bersama anggota keluarga.
"Jikalau sesiapa yang ada maklumat (mengenai dakwaan itu), pergilah kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah)," katanya sewaktu sesi soal-jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan Tan berhubung lebuhraya sejauh 18 km itu, Samy Vellu berkata, pembinaan projek itu mendapat kelulusan Kabinet.
Bayar pampasan
Mengenai jumlah pampasan yang ditanggung kerajaan berhubung menara kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diroboh dan dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek itu, beliau berkata, syarikat konsesi terbabit telah membayar pampasan kepada TNB.
"Gantirugi yang telah diberi kepada TNB oleh syarikat konsesi itu adalah untuk membina menara kabel yang sedia ada," katanya.
Menurut laporan Bernama, Samy Vellu juga berkata, semua jalan persekutuan dan negeri direkabentuk mengikut piawaian jalanraya yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Piawaian itu termasuk arahan teknik jalan dan spefikasi piawai serta garis panduan lain yang dikeluarkan JKR merangkumi seluruh aspek pembinaan jalan raya, katanya.

