Lagi bantahan cadangan penyenaraian TH Plantation.
Tabung Haji (TH) digesa menimbang dengan teliti langkah menyenaraikan anak syarikatnya, TH Plantation Sdn Bhd di pasaran saham bagi menjaga kepentingan pendeposit dan kewibawaannya sebagai sebuah institusi Islam.
Tabung Haji (TH) digesa menimbang dengan teliti langkah menyenaraikan anak syarikatnya, TH Plantation Sdn Bhd di pasaran saham bagi menjaga kepentingan pendeposit dan kewibawaannya sebagai sebuah institusi Islam.
Gesaan itu dibuat oleh Teras Pengupayaan Melayu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kedah.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penyenaraian syarikat itu di bursa saham tidak menjamin modal terkumpul akan berkembang dan mendapat keuntungan.
Dalam satu kenyataannya, beliau berkata, pembesaran modal melalui pasaran terbuka adalah berisiko tinggi dan ini terbukti dengan banyaknya syarikat awam yang mengalami kerugian.
Azmi menambah, penyenaraian di pasaran saham juga akan mendedahkan syarikat itu kepada punca-punca kewangan yang datang dari pelabur atau sumber-sumber yang tidak mengikut syarak.
TH juga katanya perlu mengutamakan kepentingan penyimpan kerana kerugian dalam mana-mana pelabura, akan memberi kesan kepada dividen yang dibayar kepada penyimpan.
Sebagai contoh, katanya banyak tabung amanah saham negeri yang telah gagal mencapai keuntungan dan telah mendatangkan kerugian kepada pendeposit.
"Teras mengambil perhatian serius terhadap isu ini kerana tujuan asal penubuhan Tabung Haji adalah untuk memastikan wang terkumpul tidak digunakan dalam pelaburan yang lari dari matlamat asal.
"Bantahan terhadap TH Plantation Sdn Bhd yang dibangkitkan dalam Parlimen perlu diberi perhatian serius," katanya .
Bantahan ahli Parlimen
Pengumuman penyenaraian TH Plantation di Bursa Malaysia pada penghujung tahun ini dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan TH Datuk Mohd. Bakke Salleh pada 25 September lalu.
Bagaimanapun, ia telah mendapat bantahan ahli-ahli Parlimen kerana mereka menganggapnya bercanggah dengan kehendak majoriti pendeposit TH.
Bagaimanapun, Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin bertegas untuk meneruskannya kerana berpendapat penyenaraian itu tidak menyalahi syarak.
Sementara itu, bekas Pengerusi TH, Tan Sri Hanafiah Ahmad pula dilaporkan hari ini, turut melahirkan kebimbangannya terhadap cadangan menyenaraikan TH Plantation itu.
Beliau khuatir penyenaraian anak syarikat TH itu akan menjejaskan peluang agensi itu mendapat tanah ladang dari kerajaan negeri dengan harga yang rendah.

