Kerajaan diminta teruskan lagu Negaraku versi 2003
Pergerakan Pemuda Umno mahukan versi dan lagu Negaraku yang digubah pada 2003 berentak Moderato dolce diteruskan kerana ia bersesuaian dan membangkitkan perasaan lebih bersemangat ketika menyanyikannya.
Pergerakan Pemuda Umno mahukan versi dan lagu Negaraku yang digubah pada 2003 berentak Moderato dolce diteruskan kerana ia bersesuaian dan membangkitkan perasaan lebih bersemangat ketika menyanyikannya.
Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pergerakan itu, berkata, keputusan untuk mengembalikan semula lagu kebangsaan mengikut rentak asal 1956, seharusnya diperhalusi terlebih dahulu dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terutamanya orang ramai.
"Kita tidak nampak sebarang kecacatan berkenaan rentak lagu Negaraku yang diubah pada 2003, malah lebih bersifat kontemporari bersesuaian dengan suasana waktu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Malah gubahan lagu Negaraku pada tahun 2003 itu, telah dihasilkan oleh mereka yang cukup arif dan berpengalaman dalam bidang muzik serta telah mendapat persetujuan dari Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu serta telah digazetkan oleh Parlimen," katanya.
Kata sepakat
Khamis lalu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, lagu Negaraku akan dikekalkan dengan rentak asal seperti yang didendangkan semasa mula diperkenalkan pada tahun 1956.
Berikutan itu, kata Rais, rentak lagu Negaraku itu akan diwartakan di bawah Akta Lagu Kebangsaan yang berkuat kuasa selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
"Kita akan pastikan versi dan lagu Negaraku rentak moderato tidak akan berubah lagi bagi menjaga kehormatan dan kesenian lagu kebangsaan itu. Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila semua pihak mencapai kata sepakat dalam membincangkan isu berhubung lagu Negaraku ini,'' katanya.
Isu berhubung lagu Negaraku mula mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mendakwa penyanyi Hattan menghina lagu Negaraku kerana tidak menyanyikan lagu itu dengan versi betul pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu.
Pelbagai pihak termasuk pencipta lagu tanahair turut meminta kerajaan mengekalkan sifat muzikal lagu asal Negaraku yang dikatakan sudah sebati dengan sebilangan besar rakyat Malaysia kerana memiliki `semangat' tersendiri yang mampu membangkitkan rasa megah dan hormat rakyat pada negara.
Menurut Rais, lagu yang pernah diubah rentak dan temponya pada 30 Ogos 1993 dan 2003 itu akan kekal sebagaimana asal tanpa perlu ada kekeliruan lagi.
Katanya, rentak lagu Negaraku yang lebih cepat rentaknya sebelum ini dilihat adalah tidak wajar dan kurang `bersengat' dalam membangkitkan semangat cinta pada negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.