Usaha meletakkan setiausaha politik perdana menteri, Wong Nai Chee di Alor Gajah, Melaka mencetuskan bantahan penyokong BN di peringkat akar umbi.

Menurut Oriental Daily, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilapor memberitahu pemberita bahawa anggota parlimen Alor Gajah, Koh Nai Kwong akan dipindahkan ke kerusi DUN Machap.

DUN berkenaan terletak di bawah parlimen Alor Gajah.

Susulan itu, MCA bahagian Alor Gajah membatalkan acara parti itu Jumaat ini dengan setiausaha bahagiannya, Chew Choong Lin menyelar keputusan Liow.

Chew memberitahu Sin Chew Daily bahawa Liow selaku presiden MCA tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa untuk membuat keputusan mengenai calon pilihan raya kerana ia boleh menyebabkan bantahan di peringkat akar umbi.

Penyokong Koh juga mengumumkan perhimpunan bagi menyokong beliau esok dengan berjanji mengumpulkan ribuan penyokong.

Mereka juga 'menyerbu' laman sosial Facebook Liow dan menulis ruangan komen dengan nada marah.

"Hai tuan Presiden, saya tidak kenal awak, saya tidak kenal Wong Nai Chee. Malah, saya tidak mahu tahu.

"Tetapi jika anda buat keputusan untuk letakkan calon lain selain MP Koh Nai Kwong, kami orang Alor Gajah tahu bagaimana mengajar anda," kata seorang individu memberikan komen.

"President MCA, kami mempunyai kuasa undi untuk tumbangkan calon yang kami tidak sukai. Kami hanya boleh terima Datuk Wira Koh Nai Kwong bertanding di Parlimen Alor Gajah, walaupun kamu hendak datang, kami juga menolak!" kata seorang lagi.

Bukan sahaja anggota MCA, malah ahli Umno juga menyatakan sokongan kuat terhadap Koh.

Lebih 100 komen dalam pelbagai bahasa dipaparkan di halaman Facebook presiden MCA itu.

Sebuah laman Facebook yang dinamakan "Hanya Undi untuk KNK" juga diwujukan untuk menyokong Koh.

Usaha memindahkan Koh ke Machap dilihat sebagai langkah berisiko memandangkan MCA hanya menang DUN berkenaan dengan majoriti tipis 152 undi pada tahun 2013.

Bagaimanapun, penyandang kerusi DUN Machap Lai Meng Chong yang menyokong Koh, menafikan ada kempen untuk mencabar keputusan Liow.

Sebaliknya, Lai berkata hanya akar umbi menyuarakan hasrat mereka agar Koh kekal di Alor Gajah.

Lai yang mengesahkan perhimpunan untuk menyatakan sokongan kepada Koh esok, berkata, "Kami tak protes. Kami hanya mahu presiden kami menimbang semula.

"Koh adalah calon yang boleh menang, bukan hanya orang Cina yang menyokongnya tetapi juga Melayu dan India," katanya kepada Malaysiakini.

Koh tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

[Baca berita penuh]